
SEREMBAN: Seorang Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan jabatan itu terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran susur keluar Senawang, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, mangsa dipercayai sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan.
Bagaimanapun, sebuah lagi lori yang datang dari arah belakang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) JPJ dan lori yang sedang diperiksa.
Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu mengesahkan seorang anggotanya maut dalam kejadian berkenaan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd. Azrul Rashid Yaakub yang bertugas sebagai Pegawai Pembantu Penguat kuasa KP2 di cawangan JPJ Seremban.
“Beliau telah berkhidmat di cawangan ini sejak tahun 2018,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN
The post Pembantu penguat kuasa JPJ maut dirempuh lori ketika bertugas appeared first on Utusan Malaysia.






