Pembatalan Pelantikan Ahli MMKN Diwartakan, 10 Exco Negeri Sembilan Hilang Jawatan

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 10:08 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan hilang jawatan berkuatkuasa serta-merta pada 20 September lalu.

Ini selepas pembatalan 10 Exco berkenaan diwartakan pada hari ini, Khamis (24 September).

Pembatalan itu diperkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, berdasarkan Perkara XXXVIII (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Perkara itu tertulis dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan, N.S. P.U. 18 yang diterbitkan sebagai tambahan Perundangan, Jilid 79, No. 39.

“Menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang ahli Exco selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar,” menurut warta itu.

“Memandangkan (10 ahli Exco) telah melanggar ikrar taat setia (terhadap Yang di-Pertuan Besar), dengan ini (Yang di-Pertuan Besar) menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan (mereka) sebagai ahli EXCO Negeri Sembilan,” menurut kenyataan warta tersebut, dipetik Malaysiagazette.

Pembatalan Pelantikan Dibuat Selepas 10 Exco Langgar Ikrar Taat Setia

Warta terbabit turut menyatakan kesemua 10 Exco terlibat telah mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos 2026 sebelum diperkenan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

Tambah warta itu, pembatalan dibuat selepas kesemua mereka didapati telah melanggar ikrar taat setia yang dilafazkan.

“Dan bahawasanya memandangkan kalian telah melanggar ikrar taat setia tersebut maka, Beta dengan ini menarik balik perkenan Beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.”

10 Exco yang disebut ialah:

  1. Mustapha Nagoor (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong)
  2. Faizal Ramli (Linggi)
  3. Zaiful Bahri Idris (Chembong)
  4. Razi Ali (Sungai Lui)
  5. Asna Amin (Lenggeng)
  6. Siti Nur Umaira Hasim (Labu)
  7. Suhaimizan Bizar (Gemencheh)
  8. Siow Kong Choon (Chennah)
  9. Fairuz Isa (Serting)
  10. Razali Abu Samah (Sikamat)

Petang tadi, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menjelaskan bahawa semua ahli Exco sedia ada masih sah dari segi undang-undang kerana pemecatan atau pemberhentian Exco tertakluk kepada Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memerlukan nasihat serta pandangan Menteri Besar.

Dalam masa sama, dia juga mengesahkan bahawa barisan Exco tidak dibenarkan memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri serta dilarang menjalankan tugas-tugas rasmi pentadbiran.

Namun begitu menurutnya, perkara itu hanya diumumkan secara lisan tanpa sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak. Tambahnya, setakat ini, tiada sebarang perintah mahkamah mahu pun arahan bertulis dikeluarkan berhubung larangan berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: Anwar Sifatkan Tindakan MB Negeri Sembilan & Exco “Biadab & Tak Bertamadun”, Ini Respon Ismail Lasim [Video]

Polis N9 kawal akses Exco Negeri Sembilan ke Wisma Negeri

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihaknya melaksanakan pengurusan akses ke bangunan Wisma Negeri terhadap Exco Negeri Sembilan susulan pengumuman pembatalan pelantikan yang dibuat oleh pihak Istana.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, langkah itu bagi memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis terbabit terus terpelihara.

Jelasnya, kawalan keselamatan turut dilaksanakan di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar dan Balai Undang Luak Sungei Ujong.

“Polis mengambil maklum kenyataan Jabatan Peguam Negara berhubung proklamasi bertarikh 19 April 2026 serta perkembangan proses perundangan berkaitan perkara tersebut.

“Polis menghormati sepenuhnya proses perlembagaan, perundangan dan institusi yang sedang berjalan serta tidak akan membuat sebarang penentuan terhadap perkara yang berada di luar bidang kuasa pasukan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved