Pembatalan pelantikan Exco Negeri Sembilan sah - Peguam Negara

LocalPolitics
26 Sep 2026 • 11:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pembatalan pelantikan Exco Negeri Sembilan sah - Peguam Negara
Warta pembatalan lantikan itu bermula 20 September lalu oleh Tuanku Muhriz mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Foto hiasan

SHAH ALAM - Pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan adalah sah mengikut peruntukan undang-undang negeri.

Exco tersebut ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, warta pembatalan lantikan itu bermula 20 September lalu oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

"Warta ini merupakan prosedur tetap.

"Berdasarkan warta Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Tuanku Muhriz," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan, kesemua Exco tersebut telah mengangkat serta menandatangani sumpah dan ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lepas sebelum mengambil tempat sebagai Exco Negeri Sembilan.

Memandangkan kesemua Exco itu telah melanggar ikrar taat setia tersebut, maka Tuanku Muhriz menarik balik perkenannya dan membatalkan pelantikan tersebut.

Pada 20 September, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan semua Exco berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum ini, AGC memaklumkan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Selain itu, AGC turut menjelaskan bahawa Exco tidak mempunyai kuasa dari sudut perundangan untuk menggantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri kerana kedua-dua jawatan tersebut berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved