
KUALA LUMPUR - Pembatalan pelantikan 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan adalah sah mengikut peruntukan undang-undang negeri berkenaan.
Sepuluh Exco berkenaan terdiri daripada Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata warta yang membatalkan pelantikan mereka berkuat kuasa 20 September lalu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Warta ini dikeluarkan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Berdasarkan warta yang dikeluarkan di bawah Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang anggota Exco, selain Menteri Besar, memegang jawatan atas perkenan Tuanku Muhriz,” katanya, seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, kesemua anggota Exco berkenaan telah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lalu, sebelum menjalankan tugas sebagai anggota Exco Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, pelantikan kesemua mereka dibatalkan baginda, selepas melanggar ikrar taat setia perjawatan masing-masing.
Ia disusuli kenyataan Istana Negeri Sembilan pada 20 September lalu yang mengesahkan pembatalan pelantikan tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini menjelaskan, Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
AGC turut menjelaskan bahawa Exco tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri kerana kedua-dua jawatan berkenaan tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. - Getaran, 26 September 2026






