
Sebagai komponen penting dalam komuniti Islam, setiap individu mempunyai peranan untuk memastikan institusi Islam - surau-surau dan masjid yang berada di bawah naungan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dapat berfungsi dengan baik dan berintegriti.
Perlantikan Ahli Jawatankuasa Kariah (AJK) masjid merupakan proses rumit namun penting, yang memerlukan pengawasan teliti bagi mengelakkan salahguna kuasa. Perlantikan ini seharusnya dilakukan berdasarkan Kaedah Perlantikan Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau yang selaras dengan Akta 505. Namun, apakah proses ini benar-benar dijalankan dengan adil dan telus?
Misalnya, mengapa senarai penuh perlantikan tidak dipamerkan di papan tanda masjid? Mengapa tidak ada tempoh diberikan untuk jemaah membuat bantahan? Bagaimana pula dengan pegawai yang menerima gaji atau elaun, bolehkah mereka dilantik sebagai AJK tanpa membawa kepada konflik kepentingan? Bagaimana ada sesetengah Masjid atau Surau barisan ahli jawatankuasa boleh dipelopori dari parti politik tertentu? Adakah prosedur dan peraturan jabatan agama membenarkan hal ini?
Masjid dan surau seharusnya menjadi tempat yang bebas dari pengaruh politik. Institusi-institusi Islam, adalah tempat untuk ibadah dan refleksi rohani, bukan platform untuk berpolitik atau perselisihan faham. Integriti, daripada aspek operasi sehinggalah ke pentadbiran tidak sesekali boleh dikompromi.
Oleh itu, JAWI perlu memberikan penjelasan lebih lanjut dan mendalam mengenai proses ini. Adalah penting bagi pihak berwajib untuk memberikan maklumat yang tepat mengenai proses penamaan, tempoh bantahan, dan langkah-langkah yang diambil dalam rangka perlantikan. Dalam era keterbukaan ini, masyarakat berhak untuk mendapatkan pemahaman yang jelas dan teliti tentang isu ini.
Tanggungjawab untuk menjaga keterbukaan dan ketelusan dalam proses ini tidak hanya terletak pada JAWI. Ini juga menjadi tanggungjawab setiap umat Islam dan jemaah masjid. Setiap individu harus berusaha memahami proses ini dan menuntut penjelasan secara berhemah dan profesional.
Upaya ini bukan sahaja membantu dalam menjaga ketelusan dan memastikan prosedur yang adil dalam perlantikan ahli-ahli jawatankuasa, tetapi juga memberi sumbangan dalam memperkuat kepercayaan dan rasa hormat kita terhadap institusi-institusi Islam. Ini bukan sekadar tentang proses, tetapi juga tentang bagaimana kita, sebagai umat Islam, memelihara institusi yang menjadi pusat kehidupan rohani kita.
Kita dituntut untuk melakukan lebih dari sekadar memahami - kita perlu bertindak, memastikan kebenaran diutamakan, dan berdiri teguh mempertahankan nilai-nilai yang kita pegang teguh. Di sinilah kekuatan sebenar ummah terletak - bukan hanya dalam kata-kata, tetapi dalam tindakan kita dan ketabahan kita untuk berpegang pada prinsip-prinsip yang benar dan adil.
Mahathir Hj Mohd Rais
Ketua Penerangan Bersatu Wilayah
Mahathir Mohd Rais adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.

