PENDEDAHAN Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mengenai lebih 100 projek infrastruktur dan pembangunan di negara ini terpaksa dihentikan akibat kenaikan mendadak harga bahan api ekoran konflik di Asia Barat turut mengundang kebimbangan ramai pembeli rumah baharu.
Apa yang berlaku ketika ini bukan sekadar isu projek terbantut atau jadual pembinaan terganggu, sebaliknya mencerminkan tekanan besar terhadap keseluruhan ekosistem sektor pembinaan negara yang bergantung kepada kestabilan kos dan rantaian bekalan.
Apabila projek terhenti, kesannya bukan sahaja kepada kontraktor tetapi turut dirasai banyak kelompok termasuklah pembeli kediaman yang sudah membuat komitmen kewangan.
Untuk mencari rumah teres setingkat atau unit apartmen berharga sekitar lingkungan RM200,000 ke RM300,000 sebelum ini juga sudah sangat sukar lebih-lebih lagi di kawasan bandar besar seperti Shah Alam, Johor Bahru, George Town, Ipoh dan Kuantan.
30 Mac lalu, Presiden PKBM, Datuk Azman Yusoff dilaporkan berkata, kontraktor sudah 'mengangkat bendera putih' susulan kenaikan mendadak harga diesel industri sehingga 145 peratus dalam tempoh kurang dua bulan.
Katanya, lonjakan harga diesel industri tersebut memberi tekanan kepada kos operasi industri pembinaan khususnya membabitkan penggunaan jentera berat, pengangkutan bahan binaan serta rantaian logistik projek.
Sebagai penyelesaian jangka pendek, Azman mencadangkan kerajaan melaksanakan kawalan harga bahan binaan, mengkaji semula projek sedia ada yang terjejas, mengekalkan levi sedia ada dan pelanjutan tempoh kontrak bagi projek terjejas.
Beliau juga meminta kerajaan mengaktifkan semula mekanisme Syarat Perubahan Harga (VOP) untuk bahan binaan utama bagi tempoh sehingga enam bulan.
Langkah jangka panjang pula, katanya, kerajaan perlu melaksanakan pakej rangsangan khas untuk industri pembinaan dan kontraktor, penstrukturan semula kontrak dan pengurangan kos bahan binaan import.
Beliau turut merayu kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme subsidi secara berperingkat bagi mengurangkan kejutan kos kepada industri.
Kerajaan pada masa sama diminta mengadakan sesi libat urus yang lebih menyeluruh bersama pemain industri bagi merangka langkah mitigasi yang lebih efektif dan bersasar.
Impak besar yang telah dirasai industri pembinaan ketika ini memberi isyarat bahawa kerajaan perlu segera menggerakkan langkah untuk mengelakkan projek-projek pembinaan tertangguh dengan mengambil kira saraan yang telah diberikan pihak industri.
Walaupun pada 31 Mac lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memberi isyarat tiada keperluan segera bagi pelaksanaan pakej rangsangan secara meluas berikutan konflik Asia Barat ketika ini, namun untuk sektor pembinaan mungkin perkara tersebut boleh dipertimbangkan.
Ia bukan sahaja mengelakkan rakyat terpaksa menerima kesan buruknya tetapi disebabkan sektor pembinaan sendiri mempunyai kesan limpahan besar kepada ekonomi negara termasuk menyediakan banyak peluang pekerjaan, menjana pembangunan kawasan baharu serta menjadi penyambung rantaian industri yang luas.
Langkah bersasar termasuk pakej rangsangan khas untuk industri pembinaan sangat penting bagi memastikan projek tidak terus tertangguh, sekali gus mengurangkan kebimbangan pembeli yang menunggu rumah mereka siap mengikut jadual.
*Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan Sinar Harian

