Pembelian hartanah sumbang RM42.5 bilion kepada ekonomi Malaysia, bersamaan 2.7% daripada KDNK 2022 – Juwai IQI

Business & FinanceProperty
2 Aug 2023 • 12:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembelian hartanah sumbang RM42.5 bilion kepada ekonomi Malaysia, bersamaan 2.7% daripada KDNK 2022 – Juwai IQI

diyana

02/08/2023 - 12:44

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pembelian hartanah kediaman menyumbang sejumlah RM42.5 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2022, bersamaan kira-kira 2.7% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2022 sebanyak RM1.79 trilion.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata hakikat bahawa pembelian rumah merangsang ekonomi bermakna dasar kerajaan yang menyokong pembeli rumah mempunyai manfaat yang lebih besar untuk pertumbuhan ekonomi.

image is not available
Kashif Ansari

“Hartanah kekal sebagai cara terbaik untuk rakyat Malaysia membina kekayaan dan memperoleh keterjaminan ekonomi, tetapi ia juga baik untuk ekonomi.

“Wang yang dibelanjakan untuk yuran, duti dan perbelanjaan semasa membeli rumah juga merangsang penggunaan dan pengeluaran dalam segala-galanya daripada pembuatan hingga pengangkutan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kashif, manfaat ekonomi RM42.5 bilion hanyalah sebahagian daripada impak penuh keseluruhan sektor perumahan, disebabkan ia tidak mengambil kira tambahan berpuluh bilion ringgit daripada pengeluaran bahan; pengurusan hartanah; hartanah sewa; penyelenggaraan dan pengubahsuaian serta aktiviti hartanah lain dan nilai hartanah itu sendiri.

Beliau berkata empat negeri turut memperoleh kesan KDNK iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Faedah pembelian rumah adalah tertinggi di Selangor dengan menyumbang 3.1% daripada KDNK, sementara sumbangan terendah adalah di Kuala Lumpur pada 1.7%.

Sementara itu, faedah KDNK di Johor dan Pulau Pinang secara relatifnya tinggi, masing-masing pada 2.9% dan 3%.

“Secara purata, setiap kali anda membeli rumah, penjanaan ekonomi memberi purata faedah sekitar RM175,000, tetapi jumlahnya berbeza mengikut negeri,” katanya.

Kashif menghuraikan bahawa setiap transaksi di Johor menambah kira-kira RM150,000 kepada ekonomi, sementara Kuala Lumpur sekitar RM294,000; Selangor RM201,000 dan Pulau Pinang RM174,000.

Menurut beliau, jumlah RM42.5 bilion tersebut dikira menggunakan kaedah statistik yang dibangunkan oleh ahli ekonomi Persatuan Realtors Kebangsaan Amerika Syarikat (NAR). - DagangNews.com