KUANTAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa terus konsisten mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli atau pemimpin yang didakwa menjadi “musang berbulu ayam" dalam parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (MPT), Datuk Jasri Jamaludin berkata, langkah membersihkan parti daripada anasir pengkhianat itu merupakan tindakan tepat bagi memastikan perjuangan parti tidak disabotaj dari dalam.
Menurutnya, kewujudan “musang berbulu ayam” yang cuba memecah-belahkan parti tidak boleh dikompromi sama ada dalam blok pembangkang mahupun kerajaan.
“Tindakan membuang mereka bukan dibuat secara melulu, sebaliknya demi mempertahankan kestabilan dan kekuatan parti daripada sabotaj dalaman yang hanya menguntungkan pihak lawan.
“Parti yang ingin terus kukuh dan dipercayai rakyat mesti berani bertindak terhadap pengkhianat dalam saf sendiri tanpa mengira siapa mereka atau apa jawatan mereka,” katanya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau turut merujuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini mengakui individu dipecat itu merupakan 'orang UMNO' dalam jentera parti itu.
Jasri berkata, pengakuan tersebut menunjukkan wujud usaha melemahkan Bersatu dari dalam sekali gus menyebabkan tindakan pembersihan perlu dilakukan segera.
“Yang rosak dan kotor perlu ditendang keluar sebelum racunnya merebak lebih jauh.
“Kita tidak perlu bimbang kerana ramai lagi pemimpin dan ahli yang setia sedia menggantikan tempat mereka,” ujarnya.
Beliau turut memberi contoh beberapa negara yang mengambil tindakan tegas terhadap unsur dalaman yang dianggap mengancam kestabilan negara dan politik.
Katanya, dalam politik ancaman paling besar ialah pihak yang berpura-pura setia tetapi bertindak merosakkan parti dari dalam.
“Ada yang dibuang, didakwa, malah dihukum kerana pengkhianatan dianggap ancaman besar terhadap kelangsungan negara dan perjuangan politik.
“Sebab itu ketegasan terhadap petualang dan anasir perosak adalah langkah wajib bagi memastikan parti terus utuh dan berdisiplin,” katanya.
Pada Jumaat, Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap enam pemimpinnya termasuk memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung keahlian empat lagi pemimpin parti berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan setakat jam 7 malam, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat daripada parti itu.
Selain itu, empat lagi pemimpin Bersatu digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti iaitu ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah dan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail.






