
IPOH: Pembinaan 105 struktur menara telekomunikasi baharu di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Perak dijangka akan siap tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Mohd Azlan Helmi.
Beliau berkata terdapat beberapa masalah termasuk isu status tanah yang menyebabkan pembinaan pencawang telekomunikasi itu mengambil masa panjang untuk dibina.
Justeru katanya beliau akan turun padang menerusi program Jelajah Perak Sejahtera 2030 Komunikasi, Multimedia dan NGO; bersama dengan agensi lain yang terlibat, bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi dalam pembinaan menara telekomunikasi.
“Dalam pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil (baru-baru ini), perkara yang ditekankan ialah mengenai pembinaan menara ini, yang terdapat sedikit permasalahan tentang kekangan dari permulaan sehingga siap, mengambil masa yang panjang.
“Kita akan cuba bantu mengurangkan masalah itu antaranya melalui dokumentasi yang akan melibatkan kerjasama erat pelbagai pihak,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.
April lepas, beberapa media melaporkan Perak bakal memiliki 105 pencawang telekomunikasi baharu di bawah inisiatif JENDELA yang diperkenalkan kerajaan pusat dalam tempoh dua tahun, untuk meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan jalur lebar di negeri itu. -Bernama

