Pembinaan pesawat MPA TUDM di Itali capai 60 peratus

13 May 2025 • 12:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembinaan pesawat MPA TUDM di Itali capai 60 peratus

image is not available

13/05/2025 - 12:21

Pesawat MPA ATR72 dijangka diterima TUDM tahun hadapan. Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 13 Mei - Pembinaan 2 pesawat rondaan maritim (MPA) P-72M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disiapkan mengikut jadual dengan mencapai kemajuan melebihi 60%.

Kedua-dua pesawat maritim moden bernilai RM900 juta ini sedang dibina di fasiliti syarikat pertahanan Itali itu, Leonardo S.p.A. di Turin.

Pesawat ATR72 MPA ini dijangka diterima pada 2026.

Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, perolehan pesawat MPA penting bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara.

image is not available

image is not available
Mohamad Khaled mendengar penerangan tentang kemajuan pembinaan 2 buah MPA P-72M TUDM.

Beliau berada di Turin, Itali bagi melakukan lawatan kerja telah meninjau perkembangan pembinaan pesawat berkenaan.

“Saya telah diberikan taklimat berkenaan kemajuan pembinaan 2 buah MPA P-72M (Fasa 1) bagi kegunaan TUDM dan Program Kolaborasi Industri (ICP) yang sedang berjalan bersama Malaysia.

“Taklimat disusuli tinjauan kemajuan pembinaan yang diperoleh kerajaan pada tahun 2023 daripada Leonardo dengan harga sekitar RM900 juta untuk 2 buah pesawat.

“Pembinaannya berjalan mengikut jadual dan kemajuannya telah melebihi 60%,” ujarnya menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasmi beliau.

Mohamad Khaled memaklumkan turut diberi taklimat kemajuan pesawat daripada Pengarah Urusan Aeronautics Division, Stefano Bortoli.

image is not available

image is not available

Mengiringi lawatan ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.

Perolehan MPA ini merupakan sebahagian perancangan perolehan yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55).

Menerusi pelan ini TUDM akan mengoperasikan 6 buah pesawat MPA yang dibeli secara berperingkat-peringkat.

Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia sememangnya memerlukan MPA yang mana perangan tersebut telah dibuat sejak 20 tahun lalu.

Selain melaksanakan tugas seperti pengawasan zon maritim negara yang cukup luas, pesawat MPA juga boleh dioperasikan untuk misi peperangan antipermukaan dan antikapal selam.

image is not available

Pembelian pesawat MPA meningkatkan keupayaan pertahanan negara dalam mendepani ancaman dan cabaran pertahanan yang semakin kompleks dan pelbagai.

Sementara menunggu 2 pesawat MPA, TUDM memiliki tiga pesawat pengangkut CN235 yang telah diubahsuai kepada varian MSA (Maritime Surveillance Aircraft) dibiayai kerajaan Amerika Syarikat di bawah program Maritime Security Initiative (MSI). - DagangNews.com

standard