Persiapan LIMA 2025, pesawat TUDM buat raptai penerbangan

06/05/2025 - 10:16
Penyertaan pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM antara yang menjadi tumpuan pada LIMA 2025. Oleh Zaki Salleh
KUALA LUMPUR 6 Mei - Segmen pertunjukan udara yang menjadi tunjang pada acara LIMA 2025 di Langkawi akan dihebatkan lagi dengan penyertaan semua aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ia membabitkan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter untuk mengambil bahagian semasa acara pembukaan selain penerbangan solo dan berkumpulan sepanjang LIMA 2025.
LIMA 2025 yang akan berlangsung selama 5 hari mulai 20 Mei ini menghimpunkan pelbagai aset pertahanan dan keselamatan dari dalam serta luar negara.
Difahamkan lebih 50 buah aset pelbagai jenis TUDM terlibat semasa LIMA 2025 termasuk yang membuat pameran statik.

Antara aset TUDM yang terlibat ialah pesawat Sukhoi SU-30MKM, F/A-18D Hornet serta BAE Hawk 200.
Turut mempamerkan aksi ialah helikopter EC725AP, Leonardo AW139, helikopter EC120, pesawat pengangkut C-130H Hercules, Airbus A400M dan pesawat latihan Pilatus PC-7MKII.
Bakal mencuri perhatian pastinya penerbangan pesawat Sukhoi SU-30MKM yang mana aksi mendebarkan oleh juruterbang tempur TUDM ini sentiasa mengujakan penonton.
Bagi memastikan segala perancangan diatur rapi, TUDM akan melaksanakan latihan penerbangan secara intensif melibatkan semua pesawat menjelang LIMA’25.
Latihan tersebut akan dijalankan dalam dua fasa bermula pada 6 Mei.


Fasa pertama akan berlangsung sehingga 13 Mei di ruang udara sekitar Alor Setar, Kedah dan Butterworth, Pulau Pinang.
Seterusnya, fasa kedua akan dilaksanakan di ruang udara Langkawi dari 14 hingga 19 Mei.
Sementara itu, TUDM dalam kenyataan memaklumkan bahawa tumpuan latihan ini adalah untuk memperkukuh kesiagaan dan kecekapan kru yang terlibat.
Ini demi memberikan persembahan udara yang terbaik sewaktu acara pembukaan serta demonstrasi udara sepanjang LIMA’25 nanti.



“Sepanjang tempoh latihan, orang ramai mungkin akan melihat pesawat tentera terbang pada ketinggian rendah di beberapa kawasan, selain turut mendengar bunyi letupan yang digunakan bagi tujuan gimik pembukaan.
“Latihan ini akan melibatkan penerbangan taktikal pada altitud rendah dan beberapa siri letupan.
“Orang awam tidak perlu panik atau cemas sekiranya mendengar bunyi kuat atau menyaksikan pesawat-pesawat TUDM melakukan penerbangan luar biasa di kawasan mereka,” tambah kenyataan itu lagi.
Latihan prapembukaa ini merupakan langkah penting dalam memastikan koordinasi dan keselamatan sepanjang pameran berlangsung kelak.
Dalam pada itu, sehingga kini 3 pasukan aerobatik tentera luar negara telah mengesahkan penyertaan pada LIMA 2025 iaitu Russian Knights, Surya Kiran (India) dan Jupiter (Indonesia). - DagangNews.com
standard





