
Pusat data ialah infrastruktur canggih yang tidak diingini penduduk setempat. Selepas pelan pembinaan pusat data di Kota Damansara diumumkan dua minggu lalu, ia menerima reaksi negatif penduduk kawasan perumahan berdekatan. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini menegaskan cadangan pembinaan pusat data komersial tiga tingkat ini masih di peringkat penilaian dan belum menerima sebarang kelulusan.

Sehingga 21 Julai lalu, MBPJ menerima kira-kira 290 bantahan rasmi terhadap cadangan pembangunan di Jalan Rimba Riang 9/6 yang melibatkan 18 lot tanah milik persendirian bersebelahan rizab jalan kerajaan. Tempoh maklum balas awam dilanjutkan sehingga 27 Julai berbanding tarikh asal 15 Julai. MBPK mengatakan ini kerana kesilapan nombor rujukan dan maklumat pegawai untuk dihubungi di papan tanda.
Antara isu yang dibangkitkan oleh penduduk dalam bantahan ialah bunyi bising operasi 24 jam, kesan peningkatan haba, penggunaan tenaga tinggi, dan impak kepada Hutan Komuniti Kota Damansara. MBPJ akan mengadakan sesi taklimat pembangunan dalam 30 hari selepas tamat tempoh notis untuk menjelaskan isu kepada semua pihak yang memberi maklum balas.
Ini merupakan insiden kedua pembinaan pusat data menerima tentangan penduduk berhampiran. Pada Februari lalu, penduduk di Gelang Patah, Johor menjadi yang pertama melakukan demo menentang pembinaan pusat data berhampiran tempat tinggal mereka. Demo dilakukan 50 orang individu mewakili 1000 penduduk yang tinggal 1 kilometer daripada tapak pembinaan pusat data milik Zdata Technologies yang berpangkalan di China.
Demo dilakukan kerana sejak pembinaan dimulakan, kualiti udara terjejas sehingga penduduk mengatakan penapis udara menunjukkan bacaan bahaya dan pakaian yang dibasuh tidak boleh dijemur di luar kerana udara berdebu.
Sumber – MediaSelangor





