KUANTAN – Semua isu berkaitan pembinaan rumah ibadat sama ada di atas tanah kerajaan mahupun tanah persendirian perlu mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, perkara itu penting bagi memastikan keharmonian rakyat sentiasa terpelihara dan tidak menjadi punca kepada sebarang persengketaan antara kaum serta agama.
"Janganlah bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa yang boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri.
“Saya mahu kita semua terus memperkukuh perpaduan, berkhidmat dengan penuh ikhlas demi memakmurkan negeri, menjamin kesejahteraan rakyat serta membina masa depan yang lebih cemerlang,” titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, pada Jumaat.
Baginda turut memandang serius berhubung insiden memijak kitab suci al-Quran di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebelum ini.
“Saya tegaskan bahawa tiada kompromi dalam sebarang cubaan untuk mengganggu gugat keharmonian di negeri saya khususnya melalui permainan isu-isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja).
“Saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan. Semua pihak tanpa mengira latar belakang hendaklah bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal menzahirkan rasa bangga apabila Pahang telah mengungguli tempat pertama dalam Indeks Perpaduan Nasional Tahun 2025.
Baginda menitahkan agar Pahang terus menjadi contoh sebagai negeri yang bertoleransi dan harmoni antara kaum.
“Hal ini bermakna perpaduan rakyat saya berada pada kedudukan yang sangat kukuh, hubungan rentas kaum yang harmoni dan keyakinan yang tinggi terhadap institusi kerajaan,” titah baginda lagi.






