Pembonceng wanita maut selepas motor dirempuh

13 Jul 2022 • 12:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KUNAK: Seorang pembonceng wanita berumur 38 tahun maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh oleh sebuah Proton X70 di KM10, Jalan Kunak - Tawau, petang Isnin.

Warga Indonesia itu, yang dikenal pasti sebagai Rina Samo, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Sabarudin Rahmat berkata, penunggang motosikal yang juga suami mangsa, 39, mengalami luka di tapak tangan kanan dan kecederaan di kaki kiri.

Sementara itu, seorang anak lelakinya berusia 7 tahun yang juga membonceng motosikal itu turut cedera di kepala dan muka.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, Proton X70 tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Pekan Kunak, sementara motosikal itu menuju ke Kg Cenderawasih dari arah Giram. KEADAAN di lokasi kemalangan di Kunak. – Gambar ihsan PDRM

“Setiba di lokasi kejadian, kereta Proton itu memintas sebuah kenderaan, dan dalam masa sama motosikal tersebut yang berada di hadapan kenderaan dipintas itu sedang membelok ke kanan untuk masuk ke satu simpang, menyebabkan ia dirempuh oleh Proton itu.

“Akibat perlanggaran, penunggang motosikal tercampak ke bahu kanan jalan, sementara dua pemboncengnya (isteri dan anak) diseret oleh Proton itu,” katanya, menambah pemandu dan seorang penumpang Proton itu tidak cedera.

Pemandu Proton itu ditahan bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Sementara itu, di TUARAN, seorang lelaki bernasib baik hanya cedera ringan selepas kereta dipandunya merempuh tiang elektrik di Kampung Marabahai di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa berusia 42 tahun itu dilaporkan dalam keadaan lemah ketika ditemui di bahagian pemandu sebuah kereta pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.52 malam.

Katanya, seramai enam anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba, kereta terbabit ditemui di bahu kiri jalan dan terdapat seorang mangsa sebelum pasukan bomba bertindak mengeluarkannya.

“Mangsa dilaporkan selamat dan didapati mengalami beberapa luka di anggota badan sebelum menjalani rawatan awal,” katanya.

Menurut Abdul Qawie, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran untuk menjalani rawatan lanjut.

“Pihak bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan kenderaan dan lokasi bagi mencegah bahaya lain sebelum operasi ditamatkan jam 12.25 tengah malam.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian dalam siasatan pihak polis,” ujarnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.