Pemborong ingkar syarat lesen, lebih 90,000 liter diesel disita

14 Apr 2023 • 10:08 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebanyak 98,840 liter minyak diesel disita untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan berjumlah RM212,506 - Foto: KPDN Negeri Sembilan

image is not available
KPDN Negeri Sembilan menyita lebih 90,000 liter diesel setelah pemborong gagal mematuhi syarat lesen. - Foto: KPDN Negeri Sembilan

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menyita 98,840 liter minyak diesel dengan nilai rampasan RM 212,506 selepas mendapati pemborong barangan kawalan bersubsidi itu gagal mematuhi syarat lesen.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, rampasan itu dilakukan pihaknya ketika pemeriksaan di sebuah premis di Lukut, Port Dickson pada jam 2 petang Khamis.

Menurutnya, penguat kuasa KPDN telah menemui pemilik premis terbabit seterusnya menjalankan pemeriksaan ke atas premis dan juga dokumen berkaitan.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemborong berkenaan memiliki barang kawalan bersubsidi jenis bahan api diesel melebihi had 60,000 liter yang dibenarkan dalam lesen.

"Anggaran sebanyak 98,840 liter minyak diesel telah disita untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan RM212,506," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

**media[2163146]**

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti punca dan rantaian bekalan minyak diesel bersubsidi yang terlibat dalam kes ini.

"Pemeriksaan di peringkat pemborong diesel bersubsidi yang dijalankan merupakan tindakan proaktif KPDN mengumpul maklumat penting dalam usaha mengenal pasti dan menangani isu ketirisan diesel bersubsidi sepanjang tempoh Ops Tiris dijalankan.

"Justeru, KPDN Negeri Sembilan akan terus mengambil tindakan terhadap sindiket melibatkan barangan kawalan bersubsidi jenis bahan api diesel di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu,beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual agar mematuhi perundangan yang berkuatkuasa.

"Mereka yang melakukan kesalahan akan di ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Oleh demikian, orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan penyelewengan barang kawalan berjadual kepada pihak kementerian melalui saluran antaranya Whatsapp ke 019- 279 4317 atau 019-848 8000, Portal Aduan:e-aduan.kpdn.gov.my atau pusat panggilan,1800-886-800," katanya.