Pembukaan Jambatan Batang Lassa Esok, Feri Muara Lassa Bakal Tinggal Kenangan

8 Jan 2025 • 12:47 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Jambatan Batang Lassa Dibuka Esok, Menggamit Kenangan Terakhir Feri Muara Lassa

Pembukaan Jambatan Batang Lassa Esok, Feri Muara Lassa Bakal Tinggal Kenangan. Jambatan Batang Lassa, yang bakal dibuka kepada orang ramai esok, bukan sahaja melambangkan kemajuan infrastruktur Sarawak tetapi juga menandakan berakhirnya era perkhidmatan Feri Muara Lassa yang akan dihentikan pada 9 Januari ini.

Selama puluhan tahun, Feri Muara Lassa menjadi nadi pengangkutan utama bagi penduduk setempat. Dengan pelbagai kisah suka duka yang terpahat dalam ingatan pengguna, feri ini bukan sekadar pengangkutan tetapi juga sebahagian daripada kehidupan masyarakat Daro dan Pulau Bruit.

image is not available
Sumber gambar: FB Sibu Sarawak Page

Jambatan Baharu, Feri Lama jadi kenangan penduduk

Bagi ramai, detik-detik di atas feri ini sukar dilupakan. Ada yang berbuka puasa bersama-sama di tengah sungai, ada juga yang bertakbir raya dengan penuh rasa syukur. Lebih menarik, sijil kelahiran seorang bayi lelaki pernah mencatat tempat lahirnya sebagai “Sungai Batang Lassa Muara Daro” kerana ibunya melahirkan di atas feri dalam perjalanan ke hospital.

Selain itu, terdapat kisah wanita sarat mengandung yang terpaksa melahirkan anak di dalam kereta di atas feri, tidak sempat tiba di hospital kerana perjalanan yang panjang. Kisah-kisah seperti ini menjadikan Feri Muara Lassa sebagai sebahagian daripada detik bersejarah di kawasan tersebut.

Era Baru Dengan Jambatan Batang Lassa

Dengan kos pembinaan sebanyak RM600 juta dan panjang 2.43km, Jambatan Batang Lassa bukan sahaja memudahkan perjalanan tetapi juga membuka peluang baharu untuk pembangunan ekonomi kawasan itu, khususnya dalam sektor pertanian dan perikanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, menyatakan bahawa jambatan ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk.

image is not available
Sumber gambar: FB SaraDokha

Jambatan Batang Lassa dirasmikan pada 22 Februari 2025

Feri Muara Lassa akan menghentikan perkhidmatannya, tetapi kenangan dan peranannya dalam kehidupan penduduk tempatan akan terus dikenang. Dengan pelancaran awal jambatan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas esok, dan perasmian rasmi oleh Premier Tan Sri Abang Johari Openg pada 22 Februari, penduduk setempat kini bersedia melangkah ke fasa baharu kehidupan mereka.

Jambatan apa juga yang bakal dibina di Sarawak dan bila ianya bakal siap? Baca di bawah: