Pemegang lesen B1, B2 lebih 10 tahun layak mohon B penuh mulai 1 Oktober

2 Aug 2024 • 12:11 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

PUTRAJAYA, 2 OGOS: Program khas peralihan diperkenalkan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 untuk mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi) bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata antara syarat bagi menduduki program itu ialah individu terbabit telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minimum 10 tahun.

“Syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2024 peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini hari ini.

Loke berkata calon yang menjalani program khas peralihan itu akan dikenakan RM160 bagi menampung kos operasi di institut memandu (IM).

Beliau berkata calon juga perlu menghadiri latihan litar selama dua jam dan lulus penyesuaian kenderaan, melibatkan amali penunggangan, informasi pemanduan selamat serta pengoperasian motosikal berkuasa besar.

Sebelum ini kos mendapatkan LLM kelas B adalah RM900 membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar.

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dalam fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan berkenaan, termasuk melaksanakan perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM.

Selain itu, Loke berkata lesen kelas B1 (motosikal kurang 499cc) juga akan digabungkan dengan kelas B (melebih 500cc).

Menurutnya penggabungan itu ditetapkan setelah mengambil kira permintaan mendapatkan LMM kelas B1 terlalu rendah setiap tahun kerana ramai yang memilih untuk mendapatkan kelas B sahaja.

“Mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai. Dengan mendapatkan LMM Motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal…bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B,” katanya.

-BERNAMA

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved