Pemegang saham Salutica luluskan usul pengurangan modal RM100 juta pada EGM di Ipoh

LocalBusiness & Finance
14 Jul 2026 • 4:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemegang saham Salutica luluskan usul pengurangan modal RM100 juta pada EGM di Ipoh Image from: Pemegang saham Salutica luluskan usul pengurangan modal RM100 juta pada EGM di Ipoh amree14/07/2026 - 16:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Julai – Pemegang saham Salutica Berhad hampir sebulat suara meluluskan cadangan pengurangan modal sebanyak RM100 juta, sekali gus membuka laluan penyusunan struktur kewangan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, persetujuan ke atas usul tunggal itu diperoleh pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat berlangsung di Lahat, Ipoh, Perak.

 

Menurutnya, resolusi khas yang dibentangkan melibatkan usaha pengurangan modal menurut Seksyen 116 Akta Syarikat 2016, sebelum diluluskan majoriti besar pemegang saham melalui proses pengundian.

 

"Cadangan ini melibatkan pengurangan sebanyak RM100 juta daripada modal saham terbitan Salutica seperti yang diperincikan dalam pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 19 Jun 2026," katanya.

 

Berdasarkan keputusan pengundian, seramai 23 pemegang saham yang mewakili 173.98 juta saham mengundi menyokong usul tersebut, bersamaan 99.9999% daripada keseluruhan saham yang mengundi.

 

Bagaimanapun ujar kumpulan berkenaan, hanya seorang pemegang saham yang memiliki 100 saham mengundi menentang cadangan berkenaan, mewakili kira-kira 0.0001% daripada jumlah undian diterima.

 

Salutica_DagangNews2026

 

Keputusan tersebut mencerminkan sokongan hampir mutlak daripada pemegang saham terhadap langkah Salutica melaksanakan pengurangan modal sebagai sebahagian daripada inisiatif pengurusan modalnya.

 

Keputusan pengundian disahkan oleh Coopers Professional Scrutineers Sdn Bhd, yang dilantik sebagai pemeriksa undi bebas bagi memastikan proses pengundian dilaksanakan secara telus dan teratur.

 

Dengan kelulusan diperoleh pada EGM, kumpulan itu kini boleh meneruskan langkah seterusnya bagi melaksanakan cadangan itu, tertakluk kepada pematuhan semua keperluan kawal selia dan perundangan.

 

Walaupun tiada sebarang justifikasi diberikan, Salutica pada 30 April 2026 mengumumkan pelaksanaan penstrukturan semula operasi yang menyebabkan 53% tenaga kerjanya atau 250 pekerja diberhentikan.

 

Tindakan itu, melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Salutica Allied Solutions Sdn Bhd, selepas semakan secara menyeluruh terhadap keperluan buruh, keadaan pasaran semasa serta kecekapan operasinya.

 

Syarikat berpangkalan di Ipoh, Perak itu terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan produk elektronik, jam tangan pintar serta komponen ketepatan untuk sistem paparan skrin sentuh optik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved