Pemegang SKM Tahap 1 hingga 3 wajar terima gaji permulaan RM2,500

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 12:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemegang SKM Tahap 1 hingga 3 wajar terima gaji permulaan RM2,500

TvETALING JAYA: Pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 3 wajar menerima gaji permulaan RM2,500 sebulan apabila bekerja dalam bidang berkaitan dengan kompetensi mereka.

Presiden Belia Mahir, Mohammad Rizan Hassan berkata, graduan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) yang diterajui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) perlu diiktiraf dalam pelaksanaan kadar gaji tersebut.

Menurutnya, pemegang Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5 pula perlu mempunyai laluan gaji yang lebih tinggi.

Katanya, kadar gaji hendaklah mengambil kira tahap kompetensi, skop tugas dan tanggungjawab yang dipikul supaya peningkatan kelayakan kemahiran turut membawa perkembangan kerjaya serta pendapatan.

“Majikan perlu merujuk kepada sistem persijilan dan akreditasi JPK untuk menilai kompetensi kemahiran pekerjaan.

“Persijilan kompetensi atau profesional lain yang mahu dijadikan asas pengiktirafan pekerjaan dan gaji hendaklah mendapat pengiktirafan JPK serta dipadankan dengan kompetensi nasional.

“Ini penting bagi mengelakkan kekeliruan akibat lambakan sijil yang menggunakan label TVET tanpa standard dan pengiktirafan yang jelas,” katanya dalam kenyataan.

Mohammad Rizan berkata, kerajaan perlu menetapkan kategori pekerjaan yang layak, liputan majikan, tarikh kuat kuasa serta kaedah pelaksanaan kadar RM2,500.

Katanya, gaji asas itu juga perlu dilindungi supaya manfaat kenaikan tidak terhakis melalui pengurangan elaun atau perubahan syarat pekerjaan yang merugikan pekerja.

“Pembangunan tenaga kerja kompeten ialah tanggungjawab bersama.

“Industri perlu terlibat secara langsung dalam latihan, pemindahan teknologi dan pembangunan kompetensi, termasuk melalui kerjasama serta sumbangan peralatan latihan kepada institusi TVET awam dan swasta.

“Penglibatan ini membantu memastikan latihan selari dengan keperluan sebenar tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata, gaji permulaan RM2,500 berpotensi menjadi pemangkin kepada budaya rakyat berkemahiran.

“​​Kejayaannya bergantung pada standard yang jelas, pengiktirafan yang sah dan komitmen semua pihak untuk mengangkat nilai kemahiran,” katanya. – UTUSAN

The post Pemegang SKM Tahap 1 hingga 3 wajar terima gaji permulaan RM2,500 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved