Pemegang unit KIP REIT luluskan pembelian KIPMall Kota Warisan bernilai RM80 juta
diyana
04/10/2023 - 18:03
KUALA LUMPUR 4 Okt - KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) telah menerima kelulusan pemegang unitnya untuk membeli KIPMall Kota Warisan bernilai RM80 juta secara tunai.
Dalam satu kenyataan media hari ini, REIT itu berkata cadangan pengambilalihan itu adalah satu daripada dua cadangan yang dibentangkan dan diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan secara maya.
Cadangan kedua pula melibatkan penempatan persendirian sehingga 12.27 juta unit baharu dalam KIP REIT, pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian, untuk mengumpul kira-kira RM10 juta.
KIPMall Kota Warisan menempatkan sebuah pusat runcit satu setengah tingkat, dengan keluasan boleh disewakan bersih kira-kira 17,300 meter persegi, di atas tanah pegangan bebas di Dengkil, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong Pui Shan berkata pengambilalihan KIPMall Kota Warisan sebagai aset runcit kelapan REIT itu mengikut jadual untuk selesai menjelang suku pertama 2024.
“Hartanah runcit kami telah menyaksikan kadar penghunian yang amat menggalakkan, dengan purata kadar penghunian sebanyak 92.3% untuk tahun kewangan 2023 (FY23). Ini adalah bukti bahawa kami menarik pembeli dan penyewa yang betul,” tambahnya. - DagangNews.com


