Pemenang Anugerah Oscar, Pengarah Warga Palestin Hilang Selepas Tiba-tiba Diserang Tentera Isr*el

Entertainment
25 Mar 2025 • 11:39 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Salah seorang pengarah dokumentari ‘No Other Land’, warga Palestin yang juga pemenang Anugerah Oscar, Hamdan Ballal baru-baru ini didakwa telah diserang dan ditangkap oleh sekumpulan tentera rejim Zionis Israel di Selatan Hebron.

Perkara itu dimaklumkan oleh rakan sekerja Hamdan Ballal, Pengarah Yuval Abraham di laman X, pada Isnin.

Dalam perkongsian itu, turut dipaparkan sebuah rakaman video yang menunjukkan sekumpulan tentera menyerang perkampungan Hamdan. Bukan itu sahaja, mereka juga turut membaling batu ke arah aktivis Amerika dan menyebabkan kerosakan pada kenderaan mereka.

image is not available

Abraham berkata, tiada maklumat sama ada Ballal menerima rawatan perubatan bagi kecederaan di kepala dan perutnya.

“Mereka memukulnya dan dia mengalami luka di kepala serta perut, berdarah.

“Askar Israel menyerbu ambulans yang dipanggilnya dan membawanya. Sejak itu, tiada tanda-tanda keberadaannya,” jelasnya.

Sementara itu, aktivis dari Center for Jewish Nonviolence, mendakwa seramai 10 hingga 20 tentera rejim Zionis Israel menyerang mereka dan Hamdan di perkampungan Palestin Susiya, kawasan Masafer Yatta, Selatan Hebron.

“Kami tidak tahu di mana Hamdan kerana dia telah dibawa pergi dengan mata tertutup,” kata aktivis itu.

Untuk info, ‘No Other Land’ yang memenangi Anugerah Oscar bagi kategori Dokumentari Terbaik merupakan sebuah dokumentari yang menggambarkan kehidupan di sebuah perkampungan Tebing Barat di bawah pendudukan tentera Israel.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.