
PETALING JAYA – Seramai 84 pemain golf amatur akan berentap di pusingan akhir Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) 2026 yang menyaksikan format pertandingan diperkemas kepada lima kategori untuk perlawanan lebih inklusif.
Bakal berlangsung di Templer Park Country Golf Club dari 27 hingga 29 September ini, PNAGS 2026 bertujuan memperkukuh misinya untuk meningkatkan mutu golf amatur di seluruh negara.
Pemenang akan mewakili Malaysia ke World Amateur Golfers Championship (WAGC) World Final 2026, yang akan berlangsung di Desaru Coast, Johor pada 23 hingga 31 Oktober, dengan penyertaan lebih 650 pemain golf dan delegasi dari lebih 50 negara.
Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, pihaknya berbangga kerana terus memainkan peranan sebagai Penaja Utama WAGC World Final.
“Selama lebih sedekad, kami telah menyokong PNAGS, memupuk bakat di peringkat akar umbi serta menghubungkan pemain golf Malaysia ke pentas global.
“Kejuaraan ini mencerminkan komitmen kami terhadap sukan, pelancongan dan usaha membina hubungan persahabatan antarabangsa menerusi golf,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, WAGC World Final merupakan platform berkesan untuk mengetengahkan kepelbagaian produk dan tarikan pelancongan Malaysia.
“Dengan penyertaan peserta dari lebih 50 negara, acara ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan golf bertaraf dunia, di samping menyokong kempen Visit Malaysia Year 2026,” katanya.
PNAGS 2026 National Final mendapat sokongan penuh Perodua sebagai penaja utama, bersama rakan-rakan strategik termasuk Tourism Malaysia, Tourism Johor dan Kementerian Belia dan Sukan.
Komitmen semua pihak berkenaan mencerminkan sinergi antara sukan, pelancongan dan semangat kebangsaan bagi memastikan kejohanan ini memberikan impak bukan sahaja di padang golf, malah di luar padang.
The post Pemenang PNAGS wakili Malaysia ke pentas antarabangsa appeared first on Kosmo Online.

