Pemergian Hesyam Undang Sebak, Sahabat Kongsi Detik Terakhir — “Kalau Aku Tahu, Aku Tak Bagi Hang Pergi…”

22 Jan 2026 • 6:27 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Sebelum ini, The Malaysian Update melaporkan satu kemalangan tragis melibatkan dua mangsa di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (E8).

Menurut makluman Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kejadian berlaku sekitar jam 7.39 pagi pada 18 Januari 2026 di KM27.6 arah Barat dari Genting Sempah menghala ke Gombak, sehingga menyebabkan halangan di lorong kecemasan.

Difahamkan, mangsa lelaki dikenali sebagai Muhammad Hesyam, bersama seorang rakan wanita, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan tersebut.

Pemergian mengejut itu nyata meruntun hati ramai, khususnya keluarga dan sahabat terdekat.

Sahabat kongsi detik terakhir, penuh rasa terkilan

Menerusi satu hantaran di TikTok oleh sahabatnya, @boss__arol, dia meluahkan rasa sebak mengenang pertemuan terakhir bersama Hesyam.

Menurutnya, pada hari Jumaat sebelum arwah ke Temerloh, Hesyam sempat singgah ke kedainya. Arwah dilihat berlegar-legar, memerhati motosikal LC hijau miliknya dan memeriksa beberapa bahagian seperti gearbox serta komponen lain.

Namun kali ini, sikapnya agak berbeza.

Jika kebiasaannya mereka akan berbual dan bertegur sapa, Hesyam hanya memandang dari luar cermin pejabat sebelum terus berlalu pergi tanpa berkata apa-apa.

Perkara itu kini menjadi kenangan terakhir yang paling menyentuh hati buat sahabatnya.

“Kalau aku tau nak jadi lagu ni, aku dah suruh budak-budak siapkan lambat gearbox hang… tapi takdir Allah tak boleh nak ubah… aku redha syam…”

Lebih menyentuh perasaan, dia turut berjanji akan menjaga motosikal kesayangan arwah sebaik mungkin sebagai tanda ingatan.

Hantaran tersebut turut disertakan doa dan ucapan hari lahir buat Hesyam yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran pada 22 Januari 1996.

Hasrat bertemu anak tak kesampaian

Sementara itu, ruangan komen turut mendedahkan kisah yang lebih memilukan.

Menurut seorang individu, Hesyam sebelum itu ke Temerloh untuk menghantar basikal kepada anaknya. Namun dia tidak sempat bertemu si kecil kerana anaknya berada di Jengka mengikut datuk.

Ketika kejadian berlaku, arwah sebenarnya dalam perjalanan pulang menghala ke Gombak sebelum terlibat dalam kemalangan.

Difahamkan, arwah meninggalkan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun.

Perkara itu membuatkan ramai tersentuh, apatah lagi memikirkan si kecil yang kehilangan kasih seorang ayah secara tiba-tiba.

Ruangan komen dipenuhi doa dan luahan hati netizen

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan kesejahteraan arwah.

Ada yang menasihatkan agar anaknya sentiasa mendoakan serta bersedekah atas nama arwah.

“Al-Fatihah… bagitahu anak dia supaya selalu doakan ayahnya dan sedekahkan pahala untuk arwah. Insya-Allah sangat membantu dia di sana.”

Selain itu, ramai turut bertanya mengenai usia Hesyam yang kelihatan masih muda.

“Umur dia berapa? Nampak muda sangat.”

“Dalam 30 tahun rasanya… tak makan usia, ajal dia jemput awal.”

Tidak kurang juga yang menitipkan ucapan hari lahir penuh emosi.

“Happy birthday Hesyam… Al-Fatihah. Semoga Allah ampunkan segala dosa-dosa kau.”

“Macam ada firasat…”

Dalam masa sama, ada netizen yang mendakwa arwah kelihatan gelisah dan tidak seperti biasa sebelum kejadian.

“Dia macam nampak gelisah…”

“Macam ada yang tak kena… orang nak pergi selalunya macam dah tahu tapi tak mampu nak luah.”

Perkongsian tersebut turut membuka ruang kepada orang ramai berkongsi pengalaman kehilangan ahli keluarga masing-masing.

Ada yang menceritakan detik terakhir bersama ibu bapa yang tiba-tiba menjadi pendiam, banyak termenung dan memerhati anak-anak sebelum dijemput Ilahi, membuatkan ruangan komen bertukar menjadi ruang luahan rasa rindu dan kesedihan.

Malah, segelintir netizen mengakui mereka turut sebak walaupun tidak mengenali arwah secara dekat.

“Bila tengok video dia, rasa sedih entah kenapa walaupun tak kenal, tapi turut rasa kehilangan.”

Pemergian Hesyam menjadi satu lagi peringatan bahawa ajal maut itu rahsia Allah dan boleh datang tanpa diduga.

Baca: Tragedi Lebuhraya Karak: Hesyam dan Rakan Wanita Meninggal Dunia, Kronologi Kemalangan Undang Sebak

Hargailah insan tersayang selagi mereka masih ada.

Semoga roh Allahyarham Muhammad Hesyam ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dipermudahkan segala urusan keluarga yang ditinggalkan. Al-Fatihah. – The Malaysian Update

The post Pemergian Hesyam Undang Sebak, Sahabat Kongsi Detik Terakhir — “Kalau Aku Tahu, Aku Tak Bagi Hang Pergi…” appeared first on The Malaysian Update.