Pemergian Mulia Amirrulmukminin, Terima ‘Walk of Honor’ Selepas Menderma Organ

LocalHealth & Fitness
5 Jan 2026 • 12:49 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Satu perkongsian menyentuh hati yang dikongsikan semula di media sosial baru-baru ini mengundang sebak ramai apabila seorang lelaki muda, Allahyarham Amirrulmukminin bin Mohd Zain, diraikan dengan ‘walk of honor’ susulan keputusannya menderma organ selepas disahkan meninggal dunia.

Menerusi kapsyen yang tular, pemilik hantaran menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham sambil memaklumkan bahawa arwah menerima ‘walk of honor’ sebagai penghormatan atas pengorbanan mulia menderma organ demi menyelamatkan nyawa insan lain.

“Salam takziah buat keluarga Allahyarham Amirrulmukminin bin Mohd Zain. Dapat walk of honor sebab menderma organ. Semoga pahala arwah sentiasa mengalir kerana menyelamatkan insan yang memerlukan,” tulis kapsyen berkenaan.

Pergi Dengan Cara Yang Sangat Mulia

Sementara itu, menerusi hantaran asal video di TikTok oleh akaun @insnftha__, pemilik akaun menulis luahan penuh emosi mengenang pemergian Allahyarham yang disifatkan pergi dengan cara yang sangat mulia.

“Selamat jalan Amirrulmukminin bin Mohd Zain. Selesai sudah urusan awak di dunia ini dan awak pergi dengan cara yang mulia sebagai penderma organ yang mungkin tak semua berpeluang buat. Meninggal di hari Jumaat yang mulia, Allah memang sayangkan awak,” tulisnya.

Menurutnya lagi, Allahyarham dikenali sebagai seorang sahabat dan ahli keluarga yang baik, dan mereka sekeluarga sedang berusaha untuk reda dengan ketentuan Ilahi, sambil mendoakan agar arwah tenang di sana bersama ibunya.

Di ruangan komen, ramai netizen turut menzahirkan rasa sebak dan ucapan takziah. Seorang pengguna, @simple_emo, menulis, “Innalillahiwainnailaihirajiun. Salam takziah buat keluarga arwah. Dapat walk of honor sebab derma organ kan? Semoga pahala arwah sentiasa mengalir kerana menyelamatkan insan yang memerlukan.”

Menjawab pertanyaan netizen, pemilik video, @insan fatiha, menjelaskan bahawa Allahyarham terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran kawasan keluar Kijal ketika dalam perjalanan pulang ke Kelantan, sebelum disahkan mengalami mati otak.

“Alhamdulillah Allah permudahkan urusan dan keluarga arwah sangat memahami amanat yang arwah inginkan. Semoga Allah memberikan ganjaran syurga buat arwah,” tulisnya.

Perkongsian itu turut menarik perhatian netizen lain yang berkongsi pengalaman peribadi, termasuk @V.I.P Crew yang memaklumkan adiknya juga bernama Muhammad Nur Amirul Mukminin dan meninggal dunia pada usia muda, serta @adamlily2 yang berkongsi kisah mimpi bertemu arwah sepupu mereka dalam keadaan bercahaya.

Pemergian Allahyarham Amirrulmukminin nyata meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai, bukan sahaja kerana kehilangan nyawa muda, tetapi juga kerana pengorbanan besar yang memberi peluang hidup kepada insan lain, satu amal jariah yang pahalanya terus mengalir. – The Malaysian Update

The post Pemergian Mulia Amirrulmukminin, Terima ‘Walk of Honor’ Selepas Menderma Organ appeared first on The Malaysian Update.