
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menamatkan dominasi PUSPAKOM dalam urusan pemeriksaan pertukaran hak milik kenderaan persendirian susulan pelancaran lapan pusat pemeriksaan baharu yang dikendalikan Carro Technology Malaysia.
Langkah tersebut menandakan perubahan besar dalam landskap perkhidmatan pemeriksaan kenderaan negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, semua pusat pemeriksaan baharu itu akan mula beroperasi pada 16 Jun ini, sekali gus memberikan alternatif kepada pengguna.
PUSPAKOM sebelum ini merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan pemeriksaan wajib bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan.
Menurut beliau, langkah berkenaan menyusul keputusan kerajaan meliberalisasikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dengan membuka ruang kepada pengendali swasta yang layak untuk memasuki pasaran, tertakluk kepada pengawasan dan pematuhan peraturan yang ketat.
“Pelaksanaan ini adalah susulan pengumuman kerajaan pada 16 Julai tahun lalu mengenai pelantikan syarikat baharu bagi melaksanakan pemeriksaan kenderaan motor khusus untuk urusan pertukaran hak milik persendirian, selain PUSPAKOM.
“Inisiatif ini juga selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju supaya perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dibuka kepada syarikat lain yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor bagi Pertukaran Hak Milik Kenderaan Persendirian di sini.
Lapan pusat pemeriksaan tersebut akan beroperasi di lokasi strategik iaitu Glenmarie, Kajang dan Klang di Selangor; Wangsa Melawati di Kuala Lumpur; Bayan Lepas di Pulau Pinang; Melaka; serta Muar dan Johor Bahru di Johor.
Loke berkata, semua pusat berkenaan akan beroperasi mengikut syarat ketat serta piawaian teknikal ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk penyediaan infrastruktur pemeriksaan lengkap, peralatan ujian yang mencukupi serta integrasi dengan sistem digital MySIKAP.
“Pegawai pemeriksa kenderaan juga diwajibkan mengikuti program akreditasi ditetapkan oleh JPJ sebelum dibenarkan menjalankan tugas pemeriksaan.
“Carro turut diwajibkan menyediakan lorong pemeriksaan khusus serta kakitangan berasingan bagi pemeriksaan pertukaran hak milik, selaras dengan piawaian ISO 17020:2012,” katanya.
Kementerian Pengangkutan turut menggalakkan lebih banyak syarikat untuk memohon lesen bagi memperluas liputan pusat pemeriksaan di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Antara syarikat yang sedang membangunkan pusat pemeriksaan baharu termasuk Carsome Academy, Car Medic dan Beriman Go di Sarawak.
“Kami mahu lebih banyak kawasan mempunyai kemudahan seperti ini supaya orang ramai mempunyai lebih banyak pilihan serta akses yang lebih mudah.
“Kami juga mengalu-alukan syarikat tempatan di Sabah dan Sarawak untuk memohon lesen dan membuka pusat pemeriksaan di negeri masing-masing,” katanya.
Beliau menambah, peluasan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang lebih pantas, berkualiti dan efisien, di samping mengurangkan kesesakan di pusat sedia ada.
Berbeza dengan pusat pemeriksaan berskala besar sebelum ini, fasiliti baharu ini hanya akan menumpukan kepada pemeriksaan pertukaran hak milik kenderaan persendirian dan tidak akan mengendalikan kenderaan komersial seperti lori, bas atau teksi.
“Pengguna tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pusat pemeriksaan besar kerana konsep baharu ini membolehkan fasiliti beroperasi dalam kawasan komuniti dan komersial.
“Pengguna hanya perlu membuat janji temu secara dalam talian sebelum hadir, dan proses pemeriksaan boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.
Caj pemeriksaan bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan persendirian kekal RM37.80 termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sama seperti kadar yang dikenakan oleh PUSPAKOM, memandangkan kadar tersebut masih dikawal oleh JPJ.
Loke memberi amaran, pengendali yang gagal mematuhi piawaian ditetapkan boleh berdepan tindakan tegas.
“MOT dan JPJ akan menjalankan audit mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengendali mematuhi piawaian dan prosedur yang ditetapkan.
“Sekiranya gagal mematuhi piawaian tersebut, lesen operasi boleh ditarik balik,” katanya. - Getaran, 26 Mei 2026


