
KUALA LUMPUR - Pemerkasaan pengangkutan awam amat diperlukan dalam mengatasi kesesakan lalu lintas, yang dilihat telah menjejaskan produktiviti pekerja sekali gus merugikan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesesakan itu menyebabkan golongan pekerja kehilangan banyak masa hanya untuk ke pejabat dan ia sangat merugikan.
"Soal pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas itu akan menimbulkan soal produktiviti (dan) produktiviti negara akan terjejas, kerana kesesakan masa yang diambil pekerja untuk ke tempat kerja. Satu kajian menarik yang saya lihat di Bangkok beberapa tahun lalu menunjukkan, beberapa bilion dolar hilang dari sudut produktiviti semata-mata kerana kesesakan yang parah.
"Sebab itu jawapannya apa?, jawapannya ialah pengangkutan awam... jadi MOT (Kementerian Pengangkutan) juga sedang siapkan satu kerangka dan strategi pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, dan akan dibentang pada Jemaah Menteri dan boleh dilaksana mengikut peringkat,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran Transit Aliran Massa Fasa Dua (MRT2) Laluan Putrajaya di Depoh MRT Serdang, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
AKAN MENYUSUL


