Pemilihan atlet disaring ketat, telus tanpa pilih kasih

5 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pemilihan atlet disaring ketat, telus tanpa pilih kasih

SHAH ALAM, 5 Ogos: Atlet yang mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 disaring ketat secara telus dan dinilai melalui pemarkahan merit bagi memastikan kontinjen negeri beroleh kejayaan.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata proses pemilihan yang dibuat Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengutamakan atlet yang menunjukkan tahap disiplin tinggi dan mengikuti kursus serta modul.

“Mereka perlu ikuti kursus atau pelan latihan yang holistik (menyeluruh). Maknanya mereka tak ada ruang untuk buat silap. Sebelum ini mungkin ada isu favouritisme, kabel, pilih kasih atau kronisme.

“Kita tekankan pemilihan berdasarkan prestasi. Maknanya, atlet perlu menjalani latihan, disiplin untuk patuh kepada jurulatih selain faktor kecergasan. MSN juga gunakan sains hukum, iaitu semua aspek perlu diukur.

“Kalau kita ada atlet yang bagus tapi tak ada disiplin ketika berlatih, kita tak senaraikan. Jadi atlet tak boleh ambil mudah. Kita nak pastikan atlet juga dipilih ikut markah merit di samping kelayakan sewajarnya,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: Pemilihan atlet disaring ketat, telus tanpa pilih kasih
Skuad Ragbi Wanita Selangor mempamerkan teknik hantaran bola sebagai latihan persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 7 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

SUKMA ke-22 mempertanding sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan meliputi sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh negeri sepanjang temasya antara 15 hingga 24 Ogos.

Para SUKMA pula dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan antaranya renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang dan memanah.

Majlis pembukaan dijadual berlangsung Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Selain 15 kontinjen negeri, Brunei Darussalam turut menyertai SUKMA sebagai kontinjen jemputan.

SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.

Image from: Pemilihan atlet disaring ketat, telus tanpa pilih kasih
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026 pada 26 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved