Pemilihan CEC: DAP Tiup Angin Baharu, Lebih Terbuka Dan Inklusif

LocalPolitics
17 Mar 2025 • 11:47 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kemenangan Gobind Singh (kiri) dan Loke (dua, kiri) bakal membawa perubahan baharu dalam DAP - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP baru sahaja melabuhkan tirai semalam. 

Ramalan bahawa pucuk pimpinan akan berubah nampaknya menjadi kenyataan, selepas Menteri Digital, Gobind Singh Deo dilantik sebagai Pengerusi Kebangsaan bagi penggal 2025-2028.

Beliau yang disokong Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik disifatkan bakal meniup ‘angin baharu’, sekali gus menjadi titik perubahan penting dalam sejarah parti itu.

Kemenangan kedua-dua pemimpin muda ini bukan sahaja mewakili lembaran baharu dalam politik Malaysia tetapi juga mencerminkan peralihan parti ke arah masa depan yang lebih terbuka dan inklusif.

image is not available
Barisan CEC penggal 2025-2028

Keputusan ini juga menandakan berakhirnya dominasi keluarga Lim yang sebelum ini mengepalai parti selama lebih lima dekad, bermula dengan Tan Sri Lim Kit Siang sebelum diambil alih anaknya, Lim Guan Eng. 

Kedua-dua pemimpin membentuk hala tuju parti dan DAP sering dilihat sebagai parti yang menyokong kepentingan masyarakat Cina. 

Gobind Singh Dan Loke 

Pemilihan semalam bagaimanapun diyakini akan mengubah dinamik parti.

Pesona Gobind Singh dan Loke yang lebih moden, mudah didekati dan masih ‘belia’ dilihat ramai memberi petanda bahawa DAP akan berubah ke arah lebih pragmatik, sekali gus menjadi daya penarik kepada golongan muda. 

Ia adalah petanda jelas evolusi DAP, ke arah lebih progresif dengan aliran pemikiran yang lebih segar. 

Gobind Singh, yang dianggap sebagai pemimpin pragmatik dan muda, dilihat sebagai pelita harapan untuk masa depan parti.

image is not available
Gobind Singh Deo - Gambar BERNAMA

Komitmen beliau terhadap pendekatan terbuka dan inklusif berpotensi untuk menghidupkan semula DAP, menjadikannya lebih relevan kepada generasi semasa, khususnya golongan muda yang menuntut perubahan.

Tumpuan beliau terhadap perpaduan dan kesejahteraan keseluruhan rakyat Malaysia boleh meletakkan DAP sebagai kuasa politik yang mengatasi perjuangan perkauman yang sempit.

Hala tuju baharu ini boleh membantu DAP mendapat penerimaan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang lebih luas, termasuk majoriti Melayu, yang secara tradisinya meragui parti itu.

Loke, seorang pemimpin muda yang mempunyai pengalaman penting dijangka memperkukuhkan lagi struktur organisasi DAP.

image is not available
Anthony Loke - Gambar fail

Beliau amat dikenali di peringkat akar umbi malah penguasaan bahasa Melayu yang baik membantu mengubah persepsi ramai terhadap DAP, sebagai sebuah parti berpaksikan ‘keCinaan’.

Sejak menyandang portfolio sebagai Menteri Pengangkutan, Loke telah menunjukkan keupayaan untuk menguruskan cabaran penting dalam kerajaan, menanam keyakinan kepada orang ramai bahawa kepimpinan DAP semakin matang dan menjadi lebih bertanggungjawab.

Ini boleh memberi dorongan kepada DAP untuk bergerak ke hadapan dengan lebih berkesan dalam arena politik negara.

Laluan Penuh Pancaroba

Dalam keghairahan ahli melihat perubahan pucuk pimpinan, sebenarnya ada satu soalan penting yang masih belum terjawab. 

Apakah kegagalan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengekalkan jawatan Pengerusi Kebangsaan menandakan berakhirnya legasi dan pengaruh keluarga Lim dalam parti dan landskap politik yang lebih luas?

‘Dinasti’ Lim telah lama menjadi tonggak identiti DAP, dan peranan mereka yang semakin berkurangan seolah membayangkan peralihan ke era kepimpinan baharu.

image is not available
Lim Kit Siang

Keputusan pilihan raya ini bukan sahaja menunjukkan perubahan dalam kepimpinan, tetapi juga mencerminkan permintaan yang semakin meningkat daripada masyarakat Cina untuk wacana politik yang lebih progresif dan tidak berunsur perkauman.

Ketika DAP bergerak ke hadapan, ia menghadapi cabaran untuk mengimbangi pertahanan hak orang Cina dengan menggalakkan kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia.

Identiti parti yang sering dikritik kerana tertumpu secara sempit kepada kepentingan etnik, kini mempunyai peluang untuk berkembang menjadi satu yang menarik semua rakyat, tanpa mengira latar belakang.

Bagaimanapun, laluan ini ada pancaroba tersendiri. 

Dalam usaha melebarkan sayap parti kepada orang ramai, DAP pada masa sama perlu berpegang teguh kepada akar umbi yang mungkin lebih ‘sebati’ dengan cara lama. 

Berdepan senario ini, pucuk pimpinan parti ‘perlu menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak’.

Mengekalkan kerelevanan perjuangan sambil menerima keterangkuman bukanlah tugas yang mudah, tetapi adalah penting jika parti itu ingin kekal sebagai pemain utama dalam landskap politik Malaysia.

Kejayaan masa depan parti bergantung pada keupayaannya untuk mengurus transformasi ini dengan bijak, memastikan ia kekal sebagai kuasa yang relevan dan suara inklusif dalam politik Malaysia. – Getaran, 17 Mac 2025