Pemilihan PKR: Perak destinasi pertama kempen Nurul Izzah

LocalPolitics
10 May 2025 • 11:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nurul Izzah menyampaikan ucapan ketika program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

image is not available
Nurul Izzah (tengah) bersama sebahagian pimpinan PKR Perak yang hadir sempena program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

IPOH - Perak menjadi destinasi pertama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar selepas mengumumkan diri bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden parti bagi sesi 2025-2028.

Kehadirannya di dalam program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah di sebuah hotel di sini disertai lebih 1,000 orang termasuk pimpinan PKR negeri, ketua-ketua cabang dan pimpinan di peringkat akar umbi yang lain.

Dalam ucapannya, Nurul Izzah menjelaskan kesediaannya bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan kali ini dengan tekad untuk menyatukan hati seluruh anggota parti melalui kekuatan dan kebijaksanaan wanita.

Jelasnya keputusan itu lahir daripada semangat perjuangan yang tidak pernah padam sejak menyertai parti hampir dua dekad lalu.

“Saya ambil keputusan ini kerana saya sayangkan perjuangan ini. Kita sering lihat wanita hanya menjadi watak sokongan, tetapi sekarang saya mahu wanita jadi penggerak utama.

**media[3120166]**

"Saya nak gunakan kuasa wanita untuk satukan hati-hati dalam parti ini,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Hadir sama pada program itu, Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri; Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohd Azlan Helmi; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi Zulkifly dan pimpinan sayap parti yang lain.

Dalam pada itu Nurul Izzah turut menyifatkan pencalonan itu sebagai satu penghormatan dan amanah besar, apatah lagi setelah menerima sokongan daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim sebagai pencadang rasmi.

Nurul Izzah yang juga anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkongsi pengalamannya ketika mula-mula menyertai politik dalam suasana serba kekurangan.

“Saya masuk bertanding pilihan raya waktu itu bukan kerana yakin akan menang. Saya cuma mahu berterima kasih kepada rakyat yang setia bersama ketika ayah saya dipenjara.

"Saya ini seorang yang pemalu, tapi saya gagahkan juga kerana perjuangan ini menuntut pengorbanan,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa kekuatan sebenar parti terletak pada semangat setiakawan dan keberanian untuk mendengar serta menghormati pandangan akar umbi.

Beliau turut menyeru semua ahli PKR agar terus memperkukuh jentera parti dan membawa agenda yang benar-benar dekat dengan rakyat.

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan akan mencabar penyandang bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved