
KUALA LUMPUR - Bermula 15 November ini, pemilik atau pemandu kenderaan asing khususnya dari Singapura yang gagal memiliki atau mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) tidak dibenar keluar Malaysia selagi tidak membayar saman, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan sepenuhnya itu melibatkan kenderaan persendirian individu serta kenderaan persendirian milik syarikat yang tiada VEP, tamat tempoh, atau masih berstatus pradaftar.
“Tindakan saman akan dibuat dan wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia. Ini bagi mengelakkan sebarang masalah di pintu keluar sempadan Malaysia-Singapura,” katanya.
Bayaran saman boleh dibuat di kaunter pejabat JPJ, Kaunter Mobile JPJ, kaunter pendaftaran VEP di Danga Bay dan secara dalam talian (myEG).
Aedy Fadly berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini malam tadi.
Sebelum ini, katanya penguatkuasaan yang dilaksanakan pemandu atau pemilik kenderaan asing hanya dikenakan notis saman dan notis peringatan, namun kini sudah tiba masanya untuk penguatkuasaan penuh dijalankan.
“Sebelum ini, kita hanya adakan operasi di sekitar Johor, tetapi kini kita meluaskan ke seluruh negara.
“Mana-mana kenderaan Singapura yang tidak mempunyai VEP dan ditahan di mana-mana lokasi di Malaysia, akan dikenakan tindakan,” katanya.
Tegasnya, sejak penguatkuasaan VEP 1 Julai lalu, sejumlah 303,183 tag RFID dipasang bagi kenderaan persendirian individu, manakala 31,643 tag lagi melibatkan kenderaan milik syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya sudah memeriksa 55,486 kenderaan dan mengeluarkan 4,028 kompaun terhadap pemilik kenderaan yang tidak mempunyai VEP, dengan jumlah kompaun mencecah RM1.2 juta. - 1 November, 2025
The post Pemilik kenderaan Singapura gagal bayar saman VEP, tidak boleh keluar Malaysia: JPJ appeared first on Scoop.

