Pemilik sebuah restoran di Mantin, Negeri Sembilan meluahkan rasa kesal selepas premis mereka dijadikan tempat pembuangan sampah oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Insiden berkenaan dipercayai berlaku selepas individu tersebut mengadakan rumah terbuka.
Dalam rakaman CCTV yang dimuat naik ke akaun TikTok rasmi restoran @warisan.utara berkenaan, kelihatan sebuah Honda City dan sebuah Toyota Alphard berhenti di hadapan premis mereka. Kemudian, seorang lelaki bertopi dan seorang wanita turun untuk menurunkan empat plastik sampah hitam.
“Tak semua yang pakai kereta peti ais ni bijak.Nak depan rumah bersih tapi kotorkan tempat orang. Perangai lebih teruk dari monyet”, tulis pemilik video di dalam kapsyen hantarannya.
Tak semua yg pakai kereta peti ais ni bijak. Buat open house lepas tu sampah semua buang depan kedai orang. Tak fikir ke kedai orang tu kedai makan. Bau busuk, ulat, lalat kalau kkm datang kami juga yg kene saman. Nak depan rumah bersih tapi kotorkan tempat orang. Perangai lebih teruk dari monkey #fyp #velfiremalaysia #alphard #sampah #mantin #semenyih
Menurut pihak restoran, tong sampah di kawasan tersebut bukan tong awam sebaliknya diperoleh menerusi permohonan rasmi kepada Majlis Perbandaran atas nama syarikat berdaftar mereka. Malah, tong tersebut telah dicat dengan nombor kedai dan singkatan nama restoran bagi mengelakkan salah guna.
Pihak restoran turut meluahkan kebimbangan terhadap risiko bau busuk, kehadiran ulat dan lalat yang boleh menjejaskan reputasi serta keselamatan makanan premis mereka. Sekiranya perkara ini berterusan dan disedari pihak berkuasa kesihatan, mereka berisiko disaman walaupun kesalahan berpunca daripada orang luar.
Insiden itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen, yang rata-ratanya menyelar sikap mementingkan diri dan mendesak agar pelaku dikenakan tindakan jika berjaya dikenal pasti.
The post Pemilik kereta ‘peti ais’ dikecam, buang sampah merata appeared first on The Reporter.


