
SEREMBAN: Seorang pemilik perniagaan peranti elektronik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki kelengkapan komunikasi tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertujuan menjualnya.
Chiah Mei Chi, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di premis VS Play Gadget Store, Lukut, Port Dickson, kira-kira 12.50 tengah hari pada 28 Julai tahun lepas.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa memiliki satu unit Wireless Media Player jenama SVICLOUD model 3 Pro manakala pertuduhan kedua melibatkan lapan unit peralatan yang sama jenamanya model M8S PRO W bagi tujuan menjualnya.
Pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan 16(1)(b) dan 16(1)(d) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 16(3) peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Vivek Sukumaran.
Hakim Mazni Nawi membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-Bernama

