Pemilik premis didenda RM40,000 lakukan sambungan elektrik haram

4 Aug 2026 • 4:37 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pemilik premis didenda RM40,000 lakukan sambungan elektrik haram

Kota Kinabalu: Seorang pemilik premis didenda keseluruhan RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Piril Bulnio, 58, selepas tertuduh mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan.

Bagi pertuduhan pertama, Piril didenda RM10,000 atau penjara enam bulan kerana membekalkan elektrik yang diambil daripada talian perkhidmatan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) kepada empat buah rumah dan sebuah kedai berhampiran kediamannya tanpa lesen pengedaran.

Kesalahan itu dilakukan di Manggatal pada 25 Februari 2025.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 8(1)(b) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 8(7)(b) enakmen sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Piril didenda RM10,000 atau penjara enam bulan kerana memasang pendawaian pintasan daripada talian perkhidmatan yang sama ke sistem pendawaian sedia ada di rumahnya tanpa kelulusan bertulis daripada SE.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan pada tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga, Piril didenda RM20,000 atau penjara enam bulan kerana menyambungkan bekalan elektrik secara tidak sah melalui sambungan terus daripada bekalan utama tanpa kotak meter kepada empat rumah dan sebuah kedai berhampiran kediamannya.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh mengutip bayaran bulanan daripada penghuni empat rumah dan pemilik kedai terbabit bagi bekalan elektrik haram yang disediakannya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) Nureen Natasha Mohd Raffie mengendalikan pendakwaan manakala Piril diwakili peguam pro bono Jakariya Ab Jalil.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved