
Kota Kinabalu: Seorang lelaki dan seorang wanita didenda keseluruhan RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin kerana menggaji pendatang asing tanpa izin (PTI).
Suriani Shamsudin, 37, dan Lambong Abd Kadil, 41, mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
Suriani didenda RM10,000 atau penjara enam bulan bagi setiap PTI yang diambil bekerja selepas didapati menggaji dua warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 12 Mei lalu di premis Sabar Menanti Trading, Pusat Komersial Benoni, Papar.
Suriani menjelaskan denda sebanyak RM20,000 yang dikenakan terhadapnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pendatang tanpa dokumen yang digaji jika sabit kesalahan.
Sementara itu Lambong pula didenda RM10,000 atau penjara enam bulan kerana menggaji seorang warga Filipina yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kesalahan itu turut dilakukan pada tarikh yang sama di Papar.
Lambong membayar denda yang dikenakan. Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen Norhayati Abdul Hari mengendalikan pendakwaan.
Dalam mahkamah yang sama bagi kes berasingan seorang lelaki berusia 19 tahun didenda RM1,000 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah bermain judi dalam talian di tempat awam.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Azwan Siyamaih, 19, yang melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Penampang pada 15 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh manakala Mohamad Azwan tidak diwakili peguam.






