TANJONG MALIM, 12 November 2025 – Penerbit terkenal dan pemilik syarikat produksi Saphire Screen Sdn. Bhd., Datuk Hasniza Nordin, menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualification (APEL-Q) pada Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.
Menurutnya, kejayaan itu merupakan hasil usaha gigih sepanjang setahun pengajian dan simbol penghargaan terhadap pengalaman serta perjuangannya dalam industri kreatif tanah air.
“Saya amat bersyukur kerana akhirnya selama setahun juga kami belajar untuk Master ini, dan hari ini akhirnya ke pentas konvokesyen kali ini,” katanya ketika ditemu bual selepas istiadat konvokesyen berkenaan.
Hasniza yang terkenal menerusi penerbitan drama-drama popular seperti Obsesi, Sekam Di Dada dan Bisik Asmara berkata, minat mendalam terhadap dunia seni menjadi pendorong utama beliau menubuhkan Saphire Screen Sdn. Bhd.
“Semuanya kerana minat. Kami orang seni, dan perjuangan dalam industri ini agak mencabar. Tapi semangat itulah yang buat saya terus berada di sini.

Beliau turut menggambarkan dirinya sebagai seorang “workaholic”, mengakui bahawa kesungguhan terhadap kerja menjadikannya seorang yang komited dan sentiasa mencari peluang untuk berkarya.
“Saya memang sangat suka bekerja tidak kira waktu atau masa. Banyak pengorbanan yang dilakukan demi kerja, kerana bagi saya kerja itu satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.
Dalam masa sama, Datuk Hasniza turut merakamkan penghargaan kepada pihak UPSI yang sentiasa memberi sokongan terhadap penggiat seni termasuk menyediakan lokasi penggambaran drama terbitan syarikatnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, serta seluruh warga universiti yang sentiasa memberi peluang kepada kami menjalankan penggambaran di kampus. Dalam setahun, tiga hingga empat drama saya dijalankan di UPSI. Bagi saya, UPSI adalah yang terbaik,” katanya.
Selain itu, antara drama terbitan Saphire Screen sebelum ini termasuk Sekam Di Dada, Perempuan Ilmu Hitam, Presiden Kampung Morten, Imamku Okey, Obsesi Dia serta drama baharu bertajuk Sumpah Ibuku yang akan mula bersiaran di TV3 pada bulan November ini dengan barisan pelakon seperti Datuk Remy Ishak, Izara Aisyah, Liza Abdullah, Zara Zya dan Syazuwan Zulkifli.
Manakala drama Bisik Asmara yang kini dalam proses penggambaran turut menampilkan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Sophia Al Barakbah dan Ruminah Sidek dan dijangka menemui penonton di TV3 pada bulan Januari.

Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)
