Pemilik Sota Store MY tampil jelaskan dakwaan ‘scammer’, mahu selesai secara baik

LocalSales & Promo
22 Feb 2026 • 7:58 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Pemilik jenama pakaian tempatan, Sota Store MY, Ifafzrin Afiq tampil memberikan penjelasan susulan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan isu penipuan atau ‘scammer’ seperti yang tular sebelum ini.

Ifafzrin berkata, beliau telah pun berhubung dan berbincang secara terus dengan individu terlibat bagi menyelesaikan perkara berkenaan secara baik tanpa perlu diperbesarkan lagi di media sosial.

“Saya ada kenyataan saya dan saya sudah berbincang dengan orang itu. Saya harap tiada pihak memperbesarkan isu ini kerana saya sendiri akan selesaikan dengan individu tersebut secara baik,” katanya ketika dihubungi MYBERITA.

Beliau turut memohon agar sebarang hantaran berkaitan isu berkenaan diturunkan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih rumit, sekali gus menjaga reputasi nama peribadi serta jenamanya.

“Saya tidak mahu nama saya dan nama brand saya terus dipaparkan dengan gambaran buruk sedangkan saya sedang sedaya upaya menyelesaikan perkara ini dengan pihak yang berkenaan. Saya tiada masalah atau niat untuk menganiaya sesiapa,” jelasnya.

Menurutnya lagi, beliau juga terkejut apabila isu tersebut menjadi perhatian ramai.

“Saya harap isu ini dapat dihentikan dan tidak dipanjangkan kepada pempengaruh lain sebelum ia menjadi lebih jauh. Saya sendiri akan selesaikan dengan individu tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini, MYBERITA melaporkan seorang individu tampil mendakwa mengalami situasi hampir sama selepas dipercayai terlibat dalam skim kempen berbayar yang tular melibatkan tawaran kolaborasi bersama jenama tempatan.

Mangsa mendakwa ditawarkan penyertaan kempen promosi melibatkan konsert, tiket VIP, ‘cashback’ serta barangan eksklusif sebelum diminta mengimbas kod QR atas alasan ‘activation’ melalui kemudahan pembayaran ansuran platform e-dagang. Transaksi tersebut didakwa melibatkan jumlah keseluruhan hampir RM9,518.96 termasuk caj pemprosesan dan komitmen ansuran 24 bulan.