Pemilik 'supercar' culas perbaharui cukai jalan miliki banyak saman tertunggak

LocalCars
25 Oct 2026 • 9:51 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemilik 'supercar' culas perbaharui cukai jalan miliki banyak saman tertunggak
Muhammad Kifli (dua dari kanan) ketika ditemui pemberita di Lapang Sasar Shapadu, Presint 20 Putrajaya pada Sabtu.

PUTRAJAYA - Miliki banyak saman tertunggak hingga disenaraihitamkan merupakan alasan pemilik kenderaan mewah culas memperbaharui cukai jalan, namun menggunakan kenderaan itu di jalan raya.

Perkara itu dikesan menerusi operasi penguatkuasaan Op Luxury yang digerakkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Julai tahun lalu.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sehingga setakat 23 Oktober, sebanyak 4,098 kenderaan mewah disita pihaknya.

"Tahun 2025, sebanyak 785 buah kenderaan mewah disita, manakala tahun ini (setakat Jumaat lepas) sebanyak 3,313 kenderaan sudah disita.

"Bagi mana-mana kenderaan yang tidak diperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), JPJ akan mengambil tindakan penyitaan," katanya kepada pemberita ketika Program Advanced Leadership and Management Program (ALMP) Siri 89 Bil 4/2026 di Lapang Sasar Shapadu, Presint 20 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, daripada lebih 4,000 kenderaan yang disita, didapati beberapa kenderaan yang dikategorikan sebagai 'supercar' iaitu Rolls-Royce, Lamborghini, Ferrari dan McLaren.

Jelasnya, ini merupakan kenderaan yang harganya melebihi RM5 juta dan ada antara kenderaan tersebut tidak diperbaharui LKM sehingga berbelas tahun.

"Ada sesetengah mempunyai nilai LKM lebih daripada RM10,000 malahan ada RM52,000. Pemiliknya pelbagai kategori, ada orang kenamaan, ahli perniagaan dan pempengaruh," ujarnya.

Muhammad Kifli berkata, alasan popular pemilik tidak memperbaharui LKM ialah terlupa.

"Tetapi akhir-akhir ini alasan terbaru di mana mereka mempunyai saman-saman tertunggak yang belum diselesaikan dan menyebabkan kenderaan itu disenaraihitamkan, jadi bila kenderaan itu disenaraihitamkan, ia tidak boleh memperbaharui LKM sehingga semua saman itu diselesaikan," ujarnya.

Laporan Sinar Harian 22 Oktober lalu melaporkan JPJ mempunyai senarai kenderaan mewah yang tidak memperbaharui cukai jalan.

Justeru, JPJ menjelaskan bahawa Op Luxury ini bukan niat untuk mencari kesalahan, sebaliknya mahu memberi kesedaran bahawa cukai jalan dan insurans sah merupakan kewajipan semua pemilik kenderaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved