Pemilik tanah punca penempatan haram berlarutan - ADUN Dusun Tua

LocalPolitics
9 Jun 2026 • 2:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemilik tanah punca penempatan haram berlarutan - ADUN Dusun Tua
Sebuah bangunan didirikan tanpa kebenaran dipercayai dihuni etnik Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat.

HULU LANGAT - Tindakan pemilik tanah yang membenarkan kawasan milik mereka digunakan untuk penempatan serta pembinaan struktur tanpa kelulusan dikenal pasti sebagai antara punca utama isu penempatan haram di Sungai Tekali di sini terus berlarutan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, keadaan itu menjadi lebih rumit apabila terdapat penyediaan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik yang memudahkan aktiviti berkenaan dijalankan.

Menurutnya, perkara itu bukan isu baharu dan sudah dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu bagi mendapatkan perhatian serta tindakan daripada agensi berkaitan.

"Pelbagai operasi penguatkuasaan, pemantauan dan tindakan sudah dilaksanakan oleh agensi terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin atau Pak Azad, berkongsi video di media sosial yang memaparkan kewujudan penempatan dipercayai dihuni etnik Rohingya di kawasan Sungai Tekali.

Video yang tular itu menunjukkan sebuah bangunan empat tingkat dipercayai dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Rakaman tersebut turut memaparkan struktur bangunan yang masih belum sempurna, namun dilengkapi sambungan paip air dan sistem pendawaian elektrik.

Mengulas lanjut, Johan berkata, usaha menangani isu itu sukar diselesaikan sepenuhnya selagi terdapat pihak yang membenarkan tanah milik mereka digunakan bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kebenaran.

Katanya, terdapat beberapa maklumat dan tindakan yang tidak boleh didedahkan kepada umum kerana membabitkan operasi penguatkuasaan serta siasatan oleh agensi berkaitan.

“Hasil maklumat dan tindakan yang dilaksanakan setakat ini menunjukkan peranan pemilik tanah antara faktor penting yang menyumbang kepada berlarutannya masalah ini,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkan semula dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang bagi memastikan langkah penyelesaian yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.

"Saya berpandangan tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi perhatian terhadap pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka.

"Semua pihak yang terbabit perlu dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang supaya penyelesaian yang diambil benar-benar menangani punca sebenar masalah," katanya.