
SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan dianggap membawa harapan serta kepercayaan rakyat ketika parti itu mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan seterusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Selangor pada 2023.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang, Nurul Syazwani Noh berkata, ia merupakan suatu amanah yang dipikul bersama dalam kalangan komponen-komponen PN.
“Sebagai seorang yang pernah bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional dan menerima watikah atas nama PN, sudah tentu perkembangan ini memberi kesan yang mendalam kepada saya.
“Logo itu bukan sekadar lambang di atas kertas, tetapi membawa harapan, perjuangan dan kepercayaan rakyat yang kita pikul bersama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Bersatu bakal dipanggil ke mesyuarat PN yang berlangsung waktu terdekat.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Bersatu dipanggil ke mesyuarat itu kerana parti itu masih sebahagian daripada anggota gabungan berkenaan.
Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggantungan terhadap notis penggantungan PN dan pembatalan oleh RoS membolehkan mereka memanggil mesyuarat jawatankuasa bagi menyusun langkah mendepani PRN Melaka.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang menyarankan supaya setiap perbezaan seharusnya diselesaikan secara matang dan bertanggungjawab selain perlu mengambil kira kepentingan komponen serta amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Saya percaya setiap perbezaan pandangan perlu diurus dengan matang dan penuh rasa tanggungjawab. Apa juga keputusan yang bakal dibuat, biarlah ia mengambil kira kepentingan parti, gabungan serta amanah yang telah diberikan oleh rakyat.
“Bagi saya, perjuangan ini bukan sekadar tentang nama atau logo, tetapi tentang kesetiaan kepada prinsip, penghormatan terhadap proses undang-undang dan usaha untuk memastikan suara rakyat terus dibawa dengan sebaiknya,” tegasnya.
Terdahulu, PN dilapor boleh bertanding pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung 14 November selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan menggantung notis yang dikeluarkan oleh RoS pada 22 September lalu.
Dengan keputusan oleh Hakim Datuk Azizan Md. Arshad, RoS tidak boleh menggantung segala aktiviti atau membatalkan pendaftaran PN sehingga pelupusan semakan kehakiman itu diputuskan sepenuhnya. – UTUSAN
The post Pemimpin Bersatu sambut baik gantung keputusan RoS terhadap PN? appeared first on Utusan Malaysia.






