RANAU: Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya di daerah ini, diminta memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, mahu pemimpin seperti Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) serta Ketua Kampung melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing sebaik mungkin.
“Sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi, mereka juga bertanggungjawab untuk mengetahui sebarang masalah yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing, dan membawanya ke agensi kerajaan berkaitan seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) atau Pejabat Daerah untuk tindakan selanjutnya.
“JPKK dan Ketua Kampung diberi kuasa untuk menghubungi dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada pejabat kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk sebarang aduan kerosakan kemudahan di kampung masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Joachim berkata usaha pemimpin bukan setakat itu sahaja, malah tindakan susulan perlu diteruskan sehingga jabatan dan agensi kerajaan berkaitan selesai mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat.
Beliau berucap pada Majlis Ucapan Amanat Adun Kundasang yang berlangsung di Dewan Mini Kampung Perancangan, dekat sini, Ahad.
Program anjuran bersama UPPM Kundasang dan Mahkamah Anak Negeri (MAN) itu dihadiri 300 Pengerusi dan Setiausaha JPKK, Ketua Daerah, KAN, WKAN dan Ketua Kampung.
Dalam program yang turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri itu, Yubidi Gumpoyo, Dr Joachim turut meminta pemimpin akar umbi mengenal pasti pihak yang benar-benar memerlukan bantuan tanpa pilih kasih.
“Tugas JPKK ialah membangunkan kampung mereka sendiri. Selain itu, JPKK juga perlu bekerjasama dengan pemegang adat bagi memastikan semua rakyat berada dalam keadaan sejahtera,” katanya.
Berhubung permohonan projek pembangunan kampung, beliau meminta supaya permohonan mereka dibuat melalui saluran yang betul dan dirujuk kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) untuk keperluan segera.
Dalam program itu, Dr Joachim turut menyampaikan sumbangan 400 kerusi kepada lapan kampung di DUN itu bagi membantu penduduk dalam penganjuran majlis yang melibatkan kehadiran ramai orang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
