
LABUAN: Pemimpin masyarakat terutamanya Ketua-Ketua Cawangan Umno di sini disaran terus cakna masyarakat dan peka terhadap keperluan akar umbi, sekali gus berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan berkata, cogan kata Umno “Bersatu, Bersetia Berkhidmat” perlu menjadi panduan dalam memikul tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin akar umbi.
“Mereka perlu bersatu, bekerja berpasukan, setia kepada amanah yang diberikan selain memberikan perkhidamatan terbaik kepada masyarakat, khususnya ahli-ahli cawangan Umno di bawah jagaan mereka.
“Jika ini menjadi amalan, saya yakin ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi akan terus menghargai peranan pemimpin dan memberikan sokongan padu kepada parti,” katanya.
Beliau ditemui selepas mengetuai program Ziarah Kasih Ramadan anjuran Umno Cawangan Saguking, dekat sini, Khamis.
Turut serta, Naib Ketua Umno Labuan Datuk Khalid Abd Ghani, Ketua Wanita Hajah Niswati Tarji, Ketua Pergerakan Pemuda Saifful Pungut, Ketua Cawangan Umno Saguking Zainal Bongsu, dan Ketua Kampung Gersik Saguking Osman Kadir.
Mohd Rafi, yang juga Ketua Umno Labuan, berkata sebagai ketua cawangan dan pemimpin akar umbi yang diplih oleh ahli Umno, mereka perlu menunaikan tanggugjawab sebagai pemimpin akar umbi dan memahami denyut nadi rakyat.
Jelasnya, ketua cawangan termasuk kepimpinan bahagian perlu lebih cakna dengan membantu mereka yang dilanda malapetaka, sakit dan sebagainya.
Mengenai program Ziarah Kasih Ramadan itu, Mohd Rafi berkata program tersebut amat dekat di hati beliau kerana membuka ruang dan peluang bertemu ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi.
“Kita faham tidak semua ahli Umno berpeluang mengerjakan ibadah puasa kerana uzur sakit dan sebagainya, dan tidak semua berpeluang untuk meraikan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang dalam keadaan yang serba lengkap kerana faktor ekonomi, justeru Umno Labuan turun padang membantu golongan ini dalam bentuk sumbangan kewangan dan keperluan makanan,” katanya.
Mohd Rafi berkata bantuan yang dihulurkan diharap dapat meringankan beban mereka dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan antara pemimpin bahagian dan cawangan.
“Sebenarnya program seperti ini perlu terus disemarakan bukan sahaja pada musim perayaan tetapi pada masa yang sesuai, program ziarah rumah ke rumah ahli juga perlu dilaksanakan,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

