Pemimpin negara hendaklah Melayu Islam – Abdul Hadi

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 7:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemimpin negara hendaklah Melayu Islam – Abdul Hadi

PETALING JAYA: Pemimpin Melayu yang berpegang teguh kepada ajaran Islam mampu mene­gakkan keadilan kepada semua kaum di negara ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu merupakan mata rantai kesi­nambungan perjuangan untuk melaksanakan petunjuk Allah kepada manusia selepas tiada lagi para rasul dan selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata, Pas berpegang kepada mazhab Sunni bahawa pemimpin negara Malaysia hendaklah daripada kalangan Mela­yu Islam, selain menolak perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP ekoran prinsip sekular yang didakwa dipegang parti itu.

Katanya, pegangan tersebut memisahkan politik daripada agama serta gagasan ‘Malaysian Malaysia’ tanpa rupa bangsa.

“Fahaman sekular berkonsep­kan pemisahan politik daripada aqidah atau iman, menjadikan politik tidak mempunyai roh dan hanya berpandukan akal manusia semata-mata tanpa berpaksikan aqidah, khususnya keimanan kepada Allah dan hari akhirat.

“Fahaman ini dilihat gagal dalam memimpin masyarakat majmuk serta menangani salah laku seperti rasuah dan lain-lain. Tanpa menetapkan rupa bangsa yang bersifat luar tabii, ketetapan Allah akan dilihat bercanggah dengan fitrah manusia,” katanya dalam Minda Presiden Pas.

Abdul Hadi berkata, pemim­pin hendaklah dalam kalangan Melayu yang berpegang teguh kepada Islam dan mempunyai pengaruh yang kuat bagi menjamin keadilan kepada semua.

Katanya, pemimpin berkena­an tidak bersikap fanatik terhadap perkauman seperti sesetengah bangsa lain dalam masyarakat majmuk, walaupun tidak mempunyai kuasa politik.

“Sikap ini dapat disaksikan dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Betapa kuatnya pengaruh Islam dalam masyarakat Melayu dapat dilihat apabila seseorang yang memeluk Islam dianggap menjadi Melayu, manakala apabila seseorang itu murtad, dia tidak lagi dianggap sebagai Melayu,” katanya. – UTUSAN

The post Pemimpin negara hendaklah Melayu Islam – Abdul Hadi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved