
SANDAKAN: Seorang pemimpin perlu bersedia dengan pelbagai ilmu untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.
Menurutnya, hal ini penting kerana pemimpin adalah harapan masyarakat dan sentiasa menjadi rujukan pihak tertentu untuk menguruskan sesuatu masalah.
“Sebelum menjadi pemimpin, kita perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu. Bukan sahaja ilmu berkaitan pembelajaran, tetapi ilmu melalui pelbagai kursus berkaitan bagi memudahkan pengurusan dengan agensi tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Program Kolaborasi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan Pemimpin Tempatan Zon 5 di Dewan Serbaguna Seri Libaran Sungai Kayu, dekat sini, Sabtu lalu.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Katanya, menjadi pemimpin baik dapat membantu memacu pembangunan negeri dan rakyat Sabah, khususnya kawasan yang masih bergelut dengan pelbagai isu pembangunan.
“Janganlah kita mempersiapkan diri dengan ilmu mahu melobi menjadi calon pilihan raya. Kerana sikap itu akan membuatkan seseorang itu sentiasa lupa diri dan itu bukanlah contoh pemimpin yang baik,” katanya.
James yang juga Adun Sugut berkata beliau sendiri menimba ilmu selama kira-kira 30 tahun sebelum menjadi pemimpin hari ini.
Jelasnya, sejak 1993 beliau telah mempelajari pelbagai ilmu daripada pemimpin terdahulu bagi memantapkan pentadbiran sebagai pemimpin masa depan dan ilmu yang diperoleh masih perlu ditambah dari semasa ke semasa.
“Seingat saya, ketika saya menceburi politik, saya masih terlalu muda. Tetapi saya bersyukur kerana pemimpin kanan sentiasa terbuka memberi tunjuk ajar kepada saya dan sehingga hari ini, saya mampu berdiri sebagai pemimpin masyarakat yang dipertanggungjawabkan sebagai Menteri,” katanya.
Menyentuh senario politik semasa, beliau menegaskan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang diterajui Ketua Menteri Sabah sentiasa memperkukuh kebersamaan dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Pengukuhan PGRS bersama parti komponen dalam GRS adalah penting termasuk mengekalkan kerjasama dengan parti nasional seperti Pakatan Harapan bagi memastikan kestabilan politik di Sabah terus terjamin,” katanya.
Program kerjasama itu melibatkan ketua masyarakat dari Zon 5 melibatkan Parlimen Sandakan, Libaran, Batu Sapi, Kinabatangan dan Beluran.
Antara aktiviti program itu termasuk ceramah daripada pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kading Tang, Ketua PGRS Bahagian Libaran, Datuk Jusli Ajirol dan Pegawai PPM Pusat, Rizan Aziz.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



