JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang kini berada dalam tempoh pemulihan selepas selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, pada malam Selasa.
Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Lek Khang masih belum boleh dilawati oleh sesiapa termasuk ahli keluarga terdekat kerana masih berada dalam fasa pemulihan.
“Buat masa ini beliau masih dalam 'recovery period'. Jadi kita tunggu sehingga beliau keluar dari dewan bedah, masuk ICU, baru boleh lawatan dilakukan dan ketika itu kita akan tahu keadaan sebenar beliau.
“Operasi sudah selesai, baru lepas. Disebabkan dia sahabat saya, saya sendiri menunggu untuk melihat keadaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan Tan Lek Khang di perkarangan HSI.
Ahli Parlimen Larut itu tiba kira-kira jam 12 tengah malam di HSI bersama beberapa pemimpin antaranya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.
Tinjauan di HSI mendapati, ahli keluarga termasuk isterinya, Datin Tan Nie Nie serta rakan politik turut berkumpul di hospital sejak jam 6 petang bagi menunggu perkembangan terkini, namun enggan ditemu ramah.
Dalam pada itu, Hamzah mengakui terkejut menerima berita tersebut dan mahu menunggu laporan rasmi polis sebelum membuat sebarang andaian.
“Sudah tentu saya terkejut. Sebagai seorang sahabat, saya melihat apa yang berlaku ini, kita sendiri tidak tahu sebab apa dan sebagainya.
“Jadi saya akan tunggu dan saya juga mahu mendapatkan laporan polis terlebih dahulu,” katanya.
Sebelum itu Tan Lek Khang dilaporkan cedera selepas dipercayai tertembak diri sendiri, dalam kejadian petang Selasa.
Menurut sumber, kejadian itu dipercayai berlaku ketika beliau sedang mengadakan sesi latihan menembak di sebuah pusat latihan menembak di Kota Tinggi.
Sementara itu, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit.
Difahamkan satu sidang akhbar akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada jam 11 tengah hari pada Rabu.
Pada 13 Februari lalu, Lek Khang mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta merta susulan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Lek Khang menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, namun tewas kepada Barisan Nasional (BN).



