Pemimpin tertinggi BN iringi calon tanding PRN Negeri Sembilan

LocalPolitics
18 Jul 2026 • 10:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemimpin tertinggi BN iringi calon tanding PRN Negeri Sembilan
Ahmad Zahid memeluk Mohamad sebagai tanda sokongan sebelum memasuki Pusat Penamaan Calon bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Seri Rembau. Foto Bernama

REMBAU - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan ke pusat penamaan calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO tiba bersama Mohamad pada 8.40 pagi di PPC di Dewan Seri Rembau bagi menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandang sejak 2004.

Kesemua lapan PPC bagi PRN Negeri Sembilan mula dibuka serentak pada 9 pagi dan akan ditutup sejam kemudian.

Di Port Dickson, Setiausaha Agung BN, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengiringi Datuk Mohd Faizal Ramli yang bertanding di DUN Linggi manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani mengiringi Suhaimizan Bizar yang bertanding di DUN Gemencheh, Tampin.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mengiringi tiga calon BN iaitu Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan Chong Fui Ming yang bertanding di kerusi DUN Palong, Jeram Padang dan Bahau di Jempol.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula mengiringi calonnya, Mohd Fairuz Mohd Isa yang bertanding di DUN Serting, manakala Presiden Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Rashid Ka mengiringi calonnya Dayana Dal yang bertanding di DUN Jeram Padang, Jempol.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved