⁠Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei Terbunuh Dalam Serangan Israel-AS

WorldPolitics
1 Mar 2026 • 10:16 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

image is not available

⁠Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei dilaporkan maut dalam satu siri serangan udara yang didakwa dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas beberapa lokasi strategik di Iran pada Ahad.

Laporan mengenai kematian pemimpin berusia 86 tahun itu disiarkan oleh stesen televisyen negara serta agensi berita rasmi Iran.

Beliau terkorban susulan gelombang serangan besar-besaran menyasarkan infrastruktur ketenteraan dan kawasan berkepentingan tinggi negara berkenaan.

Serangan tersebut disifatkan sebagai antara operasi ketenteraan paling agresif dalam beberapa dekad, dengan beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengan kepimpinan tertinggi negara turut menjadi sasaran.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan dakwaan daripada pegawai Israel dan Presiden Amerika Syarikat mengenai kematian Khamenei, namun wujud percanggahan apabila beberapa sumber di Iran pada peringkat awal menafikan atau belum mengesahkan perkara itu.

Artikel berkaitan: Trump Gantung Visa Imigresen 75 Negara, Thailand, Rusia & Iran Antara Terjejas

Khamenei memegang jawatan Pemimpin Tertinggi sejak 1989 dan merupakan individu paling berpengaruh dalam struktur politik serta ketenteraan Iran.

Sepanjang lebih tiga dekad pentadbirannya, beliau memainkan peranan penting dalam menentukan dasar luar dan keselamatan negara, termasuk hubungan tegang dengan Israel dan Amerika Syarikat.

Kematian beliau dijangka memberi impak besar terhadap landskap politik dalaman Iran, selain berpotensi meningkatkan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang sememangnya bergolak.

Sumber: Astro Awani

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.