Peminat kecewa aksi pembukaan Piala Dunia dicemari tiga kad merah

FootballSports
12 Jun 2026 • 6:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peminat kecewa aksi pembukaan Piala Dunia dicemari tiga kad merah
Mexico turut menerima tamparan apabila pertahanan tengah utama mereka, Cesar Montes dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan. Foto: Agensi

KEMENANGAN 2-0 Mexico ke atas Afrika Selatan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 awal pagi tadi gagal mencuri tumpuan sepenuhnya apabila tiga kad merah yang dilayangkan sepanjang perlawanan menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak.

Di media sosial dan forum bola sepak antarabangsa, ramai penyokong menyuarakan rasa kecewa terhadap kualiti perlawanan yang disifatkan tidak setaraf dengan status aksi pembukaan kejohanan terbesar dunia itu.

Sebahagian besar komen mempersoalkan disiplin pemain kedua-dua pasukan yang menyebabkan perlawanan sering terganggu akibat terjahan keras dan insiden tidak perlu.

"Kualiti permainan tidak begitu tinggi," antara reaksi yang menerima sokongan ramai pengguna dalam talian.

Kontroversi terbesar tertumpu kepada kad merah kedua Afrika Selatan yang dilihat menjadi titik perubahan perlawanan.

Ketika masih berpeluang memberi saingan kepada tuan rumah, tindakan Themba Zwane melakukan terjahan berbahaya menyaksikan pasukannya terpaksa beraksi dengan kekurangan pemain dan menjejaskan peluang untuk bangkit.

Seorang peminat menyifatkan perlawanan itu sebagai aksi yang hambar dengan tiga kad merah, manakala ramai lagi berpendapat insiden disiplin tersebut menenggelamkan aspek teknikal dan taktikal yang sepatutnya menjadi tumpuan utama.

Malah, ada yang menganggap perlawanan pembukaan itu lebih menyerupai pertembungan fizikal berbanding perlawanan bola sepak bertaraf dunia yang diharapkan peminat.

Walaupun berjaya mengutip tiga mata penuh, Mexico turut menerima tamparan apabila pertahanan tengah utama mereka, Cesar Montes dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.

Kehilangan Montes boleh memberi kesan kepada persiapan skuad kendalian Javier Aguirre menjelang dua lagi aksi Kumpulan A menentang Korea Selatan dan Republik Czech, yang dijangka menjadi pencabar utama mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved