Peminat Korban Duit Tabung Konsert Blackpink, Demi Tulus!

Music
11 Nov 2022 • 6:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tulus bakal mengadakan konsert Fabulous Friday presents Tulus yang akan diadakan pada Januari 2023. - Gambar dari Shiraz projects

Setelah konsert terakhirnya di Malaysia menjadi perbualan ramai beberapa tahun lalu, penyanyi Tulus bakal membuat kejutan lagi menerusi konsert Fabulous Friday presents Tulus pada Januari akan datang.

Malah, kemenangan besar Tulus di Anugerah Muzik Indonesia 2022 baru-baru ini membuatkan peminat meletakkan harapan yang tinggi untuk menyaksikan persembahan Tulus di Malaysia nanti.

Bertempat di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 Januari ini, konsert berkenaan akan melibatkan pasukan pemuzik terbaik dari Indonesia untuk mengiringi persembahannya.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami membawakan semula Tulus ke Kuala Lumpur. Kita sedia maklum bahawa Tulus akan muncul dengan lagu-lagu berkualitinya yang akan dibawakan bersama bandnya yang cukup sempurna.

“Kehadiran Tulus, saya percaya bukan sahaja akan melunaskan kerinduan para peminat tegarnya tetapi juga kita dapat belajar tentang produksi dan karya yang baik dari rakan  seni seberang.

“Saya percaya bahawa hal-hal seperti ini wajar kita kongsi dan bawakan untuk dipersembahkan bukan sahaja sebagai hiburan tetapi pengalaman,” ujar Shiraz yang merupakan Pengarah Urusan Shiraz Projects.  

Tulus juga sudah tidak sabar untuk bertemu para peminat dengan mempersembahkan lagu-lagu dari album Manusia buat kali pertama di Malaysia.

“Lama betul tidak bertemu dengan para peminat di Kuala Lumpur. Semoga rindu ini menghilang ketika kita bertemu di Dewan Plenari kelak. Kita bakal menyanyi  bersama-sama,” ujar Tulus. 

image is not available

Rata-rata peminat di laman sosial cukup teruja dengan berita itu dan tidak sabar berperang untuk mendapatkan tiket konsert.

“Yahu akhirnya!” tulis satu komen di Twitter.

“Aku putuskan untuk tak pergi konsert Blackpink sebab nak pergi Tulus. Level mana patut aku beli?” kata komen yang lain. 

“Dalam banyak-banyak konsert, Tulus aku rasa nak pergi,”kata satu tweet.

Tiket-tiket mula dijual pada hari ini dengan harga RM950 (VIP), RM550 (Diamond), RM450 (Platinum), RM350 (Gold) dan  RM250 (Silver) di  www.myticket.asia. - Getaran, 11 November 2022