Peminat lesap RM350 kena ‘scam’ tiket Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza

LocalEntertainment
4 Jan 2026 • 5:46 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Isu penipuan jual beli tiket konsert kembali mencuri tumpuan apabila seorang peminat mendakwa menjadi mangsa selepas membeli tiket Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza menerusi urusan persendirian di media sosial.

Menurut perkongsian di akaun Threads @nur.eveleen, mangsa memaklumkan urusan pada awalnya kelihatan meyakinkan apabila individu terbabit menawarkan tiket pada harga RM180 sekeping sebelum bersetuju menjual dua keping pada harga RM350.

Mangsa mendakwa telah membuat bayaran seperti dipersetujui, malah penjual turut menghantar bukti transaksi serta video kononnya bagi meyakinkan bahawa urusan jual beli tersebut adalah sah.

Bagaimanapun, selepas bayaran dilakukan, penjual didakwa mula memberi pelbagai alasan termasuk perlu ‘membuka komputer’ untuk menguruskan pemindahan tiket sebelum akhirnya menyekat mangsa di aplikasi WhatsApp dan Threads.

“Kena ‘scam’ beli tiket konsert Siti Nurhaliza Legacy 30 weh. Terbang RM350 aku. Dia siap hantar video kata ‘legit’. Lepas dah pindah duit, dia ‘block’.

“Dah telefon bank. Sekarang nak pergi buat laporan polis. Hati-hati dengan nombor telefon dan ‘username’ gambar saya muat naik,” tulisnya dalam perkongsian berkenaan.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza dijadualkan berlangsung pada 10 Januari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sasaran kehadiran kira-kira 60,000 penonton, bersempena meraikan tiga dekad perjalanan seni Biduanita Negara itu.

Jualan tiket umum dilaporkan bermula pada 3 Oktober lalu selepas tempoh pra-jualan eksklusif untuk pemegang kad bank tertentu. Harga tiket pula ditawarkan mengikut kategori tempat duduk, bermula RM69 (Restricted View) dan RM89 (Bronze), diikuti RM189 (Silver), RM289 (Gold), RM359 (Platinum), RM459 (Diamond), RM1,299 (VIP) serta RM1,599 (Super VIP).

Fenomena permintaan tinggi turut dilaporkan apabila sehingga hujung Oktober tahun lalu, sebanyak 58,000 tiket telah terjual dan hanya berbaki kira-kira 2,000 tiket, antaranya daripada kategori VIP dan Platinum.

Malah, terdapat laporan menyebut sekitar 96 peratus tiket habis terjual dalam tempoh kurang sebulan, manakala sebahagian kategori tertentu dikatakan licin seawal jualan umum dibuka, sekali gus membuka ruang kepada aktiviti penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan hanya membeli tiket menerusi saluran rasmi atau platform yang sah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.