‘Pemindahan lapangan terbang contoh perancangan berubah-ubah’

LocalPolitics
13 May 2025 • 4:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: David Thien

Kota Kinabalu: Rakyat Sabah sering keliru kerana setiap kali berlaku pertukaran Kerajaan Negeri, rancangan pembangunan juga berubah atau diketepikan.

Salah satu contoh ialah penggantian Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), antara topik yang dibincangkan dalam podcast NGO Sabar – Kopitiam Council “Suara Sabah ke Tindakan” baru-baru ini.

Ia dikendalikan oleh personaliti rancangan bual bicara, Adi dan Haffisz dalam episod bertajuk “Cabaran Infrastruktur dan Perumahan Sabah: Tiada Berpenghujung. Apa yang Menghalang Kemajuan?”

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Jurutera ukur hartanah bertauliah, Sr. Raja Sundra Lingam @ Sunny Kelvin dan jurutera Ir. Lo Chong Chiun hadir sebagai tetamu jemputan.

Raja berkata pelan tempatan atau pelan struktur kebanyakannya masih dalam bentuk draf, yang bermaksud tiada apa yang muktamad atau pasti.

“Esok pun pihak berkuasa perancang boleh ubah pelan jika mereka mahu.”

Lo pula berkata pelan tempatan atau pelan struktur itu tidak diwartakan.

Raja mempersoalkan tindakan membina atau memindahkan lapangan terbang ke Kimanis yang tidak mempunyai hubungan infrastruktur yang baik ke lapangan terbang baharu seperti perjalanan ke KLIA.

“Orang ramai perlu mengambil masa tiga hingga empat jam untuk sampai, dan mereka dari Kudat mungkin perlu bermalam, menambah kos.”

“Kereta api laju atau kereta api berkelajuan tinggi diperlukan,” kata Raja, sambil menambah pada pandangannya, lokasi itu tidak begitu sesuai walaupun kawasan Kampung Madahan itu rata.

Katanya, kawasan itu juga sangat dekat dengan SOGT yang merupakan kawasan risiko kebakaran.

“KKIA masih mampu menampung jumlah penumpang lapangan terbang. Jadi sekarang mereka telah bersetuju untuk memperbesarkan KKIA dengan peruntukan tambahan bagi menampung peningkatan bilangan penumpang,” kata Raja.

Menurutnya lagi, sebelum ini, setiap Kerajaan Negeri pernah mempertimbangkan untuk memindahkan atau membina lapangan terbang baharu di Sikuati, Kudat, Kota Belud atau Tuaran, selain Kimanis, dengan pihak-pihak berkepentingan melobi projek tersebut.

Raja turut menyentuh cadangan Inisiatif Pembiayaan Swasta untuk sistem kereta api yang sangat baik untuk pelancongan tetapi masih belum direalisasikan bagi pengangkutan awam.

Kerajaan PBS pernah mahu membina sambungan kereta api ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan kerajaan negeri terdahulu pula mahu membina kereta api ke Kudat dengan pelabuhan antarabangsa baharu. Kini terdapat pula cadangan kereta api Pan-Borneo sedangkan Lebuhraya Pan-Borneo hanya dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029. Bahkan, pernah ada cadangan ‘sky train’ untuk ibu negeri oleh seorang ahli politik pada masa lalu.

Lo pula bercakap tentang masalah mencabar berkaitan pengambilan tanah untuk projek-projek di Sabah.

“Kalau tanah tidak tersedia, maka projek itu tidak boleh dimulakan. Kemudian ada pula isu bajet.

“Ordinan Pengambilan Tanah yang lemah perlu dikemas kini agar lebih adil untuk kepentingan awam kerana urusan pampasan ketika ini perlu dijalankan secara urusniaga selengan yang sangat ketinggalan zaman. Kita perlu mengemas kini undang-undang agar lebih ramai mendapat manfaat daripada pengambilan tanah yang lebih mudah.”

Beliau memberi contoh pembinaan empangan untuk bekalan air yang sehingga kini belum dimulakan selepas pertukaran kerajaan.

Terdapat cadangan Empangan Kaiduan sebelum ini dan kini Empangan Papar pula masih dalam perancangan.

“Sebenarnya pernah ada rancangan untuk sistem Pengangkutan Bas Rapid (BRT) semasa zaman Perdana Menteri Abdullah Badawi yang sudah lama dahulu,” kata Lo.

“RM1 bilion diperuntukkan tetapi entah kenapa ia tidak dibelanjakan, kita pun tak tahu sebabnya.

“Jadi, dari segi pengangkutan awam, kita sebenarnya sangat, sangat jauh ketinggalan.”

Sistem Pengangkutan Bas Rapid (BRT) ialah sistem pengangkutan awam berkualiti tinggi yang direka untuk menyediakan perkhidmatan bas lebih pantas dan cekap di bandar-bandar. Ia beroperasi di lorong khas, mempunyai bilangan hentian yang sedikit, dan menggunakan bas moden untuk meningkatkan kelajuan dan kebolehpercayaan.

Malah pernah dilaporkan bahawa sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Warisan Harta, yang kini dikenali sebagai Qhazanah Sabah Berhad meninjau kemungkinan penggunaan bas elektrik, dan pernah melawat sebuah kilang di China bagi tujuan tersebut.

Warisan Harta juga pernah diberikan mandat untuk membangunkan potensi kuasa hidro di Sabah tetapi tidak menghasilkan apa-apa pembangunan yang ketara pada ketika itu.